Beliau berkata pihaknya juga tidak akan berkompromi dengan sebarang isu melibatkan disiplin.
"Perkara ini sedang disiasat oleh pihak polis dan juga akademi (Akademi Latihan Ketenteraan (ALK)). Penting untuk difahami bahawa ini bukan kes buli atau aktiviti orientasi. Ia melibatkan seorang pelajar tahun kedua dan seorang pelajar tahun keempat.
"Kejadian ini terpencil, bukan berkumpulan. Mungkin mereka bergaduh atas isu peribadi, kita tidak tahu perkara itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan (AKP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Auditorium Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan di sini hari ini.
Mohamed Khaled yang ditanya sama ada suspek akan digantung belajar berkata sebarang keputusan akan dibuat selepas memperoleh hasil siasatan.
"Kita tunggu dan lihat hasil siasatan kerana individu yang terlibat ialah pegawai kadet, jadi sebarang hukuman akan ditentukan kemudian dan kami akan memberi kemas kini," katanya.
Setakat Ahad lepas, polis telah merakam keterangan 16 individu dalam siasatan kes buli dan dera pegawai kadet ALK-UPNM berkenaan.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata pihaknya juga telah merampas seterika yang disyaki digunakan untuk menekap mangsa pada Sabtu lepas, namun belum menerima laporan perubatan lengkap berhubung kecederaan yang dialami mangsa.
ATM dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan sedang menyiasat kes seorang pegawai kadet ALK-UPNM yang dibuli senior menggunakan seterika yang ditekap pada bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur seperti yang tular dalam media sosial.
Difahamkan, perbuatan itu terbongkar selepas pemeriksaan berkala dijalankan jurulatih yang bertugas ketika itu selepas menyedari kesan kecederaan pada tubuh mangsa.
Sebelum ini, negara digemparkan dengan kematian tragis pegawai kadet laut UPNM Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain akibat dibuli, dipukul dan diseksa apabila hampir keseluruhan anggota badannya berulang kali ditekap menggunakan seterika wap.
Susulan kes yang berlaku pada 2017 itu, enam bekas penuntut UPNM dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan pada 23 Julai lepas setelah didapati bersalah melakukan perbuatan terbabit.
-- BERNAMA