Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa menahan 17 individu terdiri daripada pegawai dan pengawal keselamatan di Jabatan Perdana Menteri kerana disyaki menyalahgunakan wang peruntukan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebanyak RM3.5 juta.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan tangkapan tersebut.

Katanya, mereka yang ditahan merupakan seorang Pegawai Keselamatan bergred 52 dan selebihnya pengawal keselamatan.


Mereka yang berusia antara 31 dan 51 tahun itu ditahan secara berasingan antara pukul 2.45 hingga 3.15 petang di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas hadir untuk memberi keterangan.

Katanya, kesemua suspek disyaki telah menyalahgunakan wang peruntukan tersebut bagi tujuan peribadi.

Turut disita wang tunai berjumlah kira-kira RM840,700 dan sembilan motosikal milik suspek yang dianggarkan bernilai RM90,000.

Kesemua suspek tersebut direman selama lima hari bermula hari ini sehingga 12 Ogos bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Siti Nabilah Abd Rashid di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi Rabu.