SERI ISKANDAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kemungkinan akan memanggil beberapa lagi saksi untuk memberi keterangan berhubung kes penipuan status tanah rizab Melayu seluas lebih 600 hektar di Perak pada 2012.


Ringkasan AI
  • SPRM akan memanggil bekas Exco kerajaan negeri dan petugas PTG Perak sebagai saksi kes penipuan status tanah rizab Melayu seluas 600 hektar pada 2012.
  • Siasatan ini merupakan peringkat kedua setelah seorang pegawai PTG didakwa pada April lalu, dengan minit mesyuarat berkaitan Exco turut diteliti.
  • Akaun tiga suspek kes penerimaan suapan dalam pendaftaran pernikahan di Perlis akan dibekukan, termasuk pegawai kanan JAIPs dan imam masjid di Kangar.


Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata saksi-saksi berkenaan termasuk bekas Exco kerajaan negeri dan petugas Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak dalam perkhidmatan ketika itu.

"Inilah adalah peringkat kedua setelah seorang pegawai PTG didakwa (April lalu). Kita sedang teliti minit - minit mesyuarat berkaitan yang mana dibawa kepada kelulusan Exco.

"Saksi-saksi lain dan anggota Exco ini akan kita panggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan dan akan ada pendakwaan dalam masa terdekat, "katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penutupan Pertandingan Akhir Debat Antirasuah Institusi Pengajian Tinggi Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM 2024 di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) di sini hari ini.

Pada 30 April lalu seorang bekas Timbalan Pendaftar Hakmilik PTG Perak dihadapan di Mahkamah Sesyen di Ioph atas tuduhan menipu status tanah rizab Melayu seluas 649.2 hektar di Mukim Sitiawan, Manjung, 12 tahun lalu.

Pada 28 Mei, seorang pengarah urusan sebuah syarikat hartanah ditahan oleh SPRM dan direman selama tiga hari berkaitan kes berkenaan namun dibebaskan pada 30 Mei.

Sementara itu, Azam berkata suspek dibebaskan kerana tempoh reman dibenarkan oleh Mahkamah Majistret telah tamat namun siasatan kes berkenaan tetap diteruskan.

Dalam perkembangan lain, katanya akaun tiga suspek kes penerimaan suapan berjumlah RM1.183 juta dalam pengurusan pendaftaran pernikahan di Perlis yang ditahan Rabu lalu akan dibekukan.

Terdahulu, tiga individu termasuk pegawai kanan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan imam sebuah masjid di Kangar, direman lima hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan berhubung penerimaan suapan dalam pengurusan pendaftaran pernikahan di Perlis sejak April 2022 sehingga Jun lalu.

-- BERNAMA