PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima beberapa aduan baharu berkaitan isu kontrak yang diterima oleh suami Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh daripada kerajaan Selangor.

Menurut sumber, aduan dan maklumat itu memberikan beberapa petunjuk baharu untuk diteliti.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk melihat kesahihan maklumat atau petunjuk baru tersebut.

"Siasatan secara menyeluruh dijalankan termasuk melihat kepada isu salah guna kuasa dan tatakelola dalam pematuhan arahan perbendaharaan dalam proses pelantikan syarikat berkenaan oleh kerajaan Selangor," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, ketika dihubungi mengesahkan beberapa aduan dan maklumat telah diterima berkenaan dengan isu ini.

"Orang ramai diingatkan supaya tidak membuat spekulasi serta membincangkan isu ini secara terbuka, sebaliknya memberi ruang untuk SPRM melaksanakan siasatan," katanya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebelum ini menyatakan bahawa pihaknya tidak menemui sebarang kesalahan dalam siasatan awal yang dijalankan.

Jelas beliau, sekiranya adanya petunjuk baharu, siasatan lanjut boleh dijalankan ke atas isu berkenaan.

*Artikel disiarkan di Sinar Harian