Sebanyak 11 buah pintu di Rumah Panjang Kampung Long Palai, Baram di sini musnah sepenuhnya akibat satu kebakaran yang berlaku pada jam 2.30 pagi tadi.

Ketua Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, penduduk kampung tidak dapat menghubungi pihak bomba mengenai kejadian kerana janakuasa telah dipadamkan sehingga menyebabkan talian komunikasi terputus.

Menurutnya lagi, pihak bomba mendapat maklumat mengenai kejadian pada jam 7.25 pagi melalui aplikasi Whatsapp yang dihantar kepada Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Marudi.

Pihak bomba terpaksa mengambil masa perjalanan 6 hingga 7 jam dari Miri ke lokasi dengan menggunakan laluan balak.

Tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan setakat ini dan punca kebakaran masih dalam siasatan.