KUALA LUMPUR: Tindakan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) mengenakan lilitan reben putih di lengan kiri masing-masing tidak melanggar peraturan mesyuarat Dewan Rakyat, kata Datuk Ramli Md Nor.


Ringkasan AI
  • Tidak Melanggar Peraturan: Tindakan ini tidak melanggar peraturan mesyuarat Dewan Rakyat menurut Datuk Ramli Md Nor. Beliau menyatakan bahawa selagi pakaian tersebut tidak melanggar syarat yang ditetapkan oleh peraturan Dewan, ia dibenarkan.
  • Pendirian Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat: Pendirian ini adalah keputusan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan bukan keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul. Beliau menegaskan bahawa ini adalah pendirian peribadi dan bukan pendirian Speaker.
  • Protes Terhadap Keputusan Johari: Ahli Parlimen PN memakai lilitan reben putih sebagai tanda protes terhadap keputusan Johari yang tidak mengosongkan enam kerusi bekas wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).


Jelas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu, pendirian tersebut adalah keputusannya dan ia tidak dibuat oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

"Ini pendirian saya, bukan pendirian Speaker. Selagi pakaian itu tidak melanggar syarat yang ditetapkan oleh peraturan Dewan, persilakan. Itu keputusan saya," katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab celahan yang dibangkitkan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) bertanyakan mengenai pemakaian lilitan reben putih oleh Ahli Parlimen daripada blok pembangkang.

Bung berkata, pihaknya mempunyai kemusykilan mengenai lilitan reben putih yang dipakai itu sama ada ia menyalahi peraturan atau tidak.

"Saya ada kemusykilan sedikit. Saya nampak kumpulan sebelah sana (pembangkang) menggunakan gelang putih besar, kecil, ada yang panjang. Ada musibah ke?," soalnya.

Semalam, Ahli Parlimen PN mula mengenakan lilitan reben putih di lengan kiri masing-masing sebagai tanda protes terhadap keputusan Johari yang tidak mengosongkan enam kerusi bekas wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Datuk Mas Ermieyati  Samsudin ketika bangkit mengajukan soalan pada pertanyaan Jawab Lisan berkata, tindakan tersebut dibuat kerana protes 'reformati' terhadap Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.