Ringkasan AI
- Kawalan Kandungan Sensitif: Kerajaan perlu bekerjasama dengan platform media sosial untuk mengawal kandungan dan komen yang dimuat naik oleh orang ramai, terutamanya yang menyentuh isu-isu sensitif seperti perkauman dan agama. Pindaan Seksyen 233: Pindaan ini mengkhususkan skop penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, dengan istilah 'jelik' kini dikhaskan kepada 'jelik melampau', yang merangkumi kandungan yang memaki, tidak senonoh, dan menyinggung perasaan ramai pihak. Kebebasan Bersuara: Walaupun terdapat kawalan, kerajaan masih memberikan kebebasan kepada rakyat untuk menyuarakan pandangan mereka, selagi tidak menyentuh isu-isu yang mengancam keselamatan negara.
Ahli Parlimen Belia Malaysia Negeri Perak dan Setiausaha Politik Ahli Dewan Negeri (ADN) Canning, Tan Li Pei berkata kawalan terhadap unsur-unsur perkauman dan agama bukan suatu bentuk menafikan hak kebebasan bersuara rakyat.
"Kerajaan perlu bekerjasama dengan platform media sosial untuk mengawal kandungan dan komen yang dimuat naik oleh orang ramai. Kita tidak berhasrat untuk mengehadkan kebebasan bersuara.
“Kita masih berikan kebebasan kepada mereka untuk menyuarakan pandangan. Tetapi pada masa yang sama, kita perlu kawal agar tidak menyentuh isu-isu sensitif yang mengancam keselamatan negara merangkumi aspek agama dan bangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Anak Muda pada Jumaat.
Pada 9 Disember lalu, Dewan Rakyat meluluskan pindaan Akta 588 melibatkan Seksyen 233 yang kini mengkhususkan skop penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Sebelum ini, seseorang yang memulakan penghantaran, apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik adalah dianggap melakukan satu kesalahan.
Dalam pindaan baharu ini, istilah ‘jelik’ telah dikhaskan kepada ‘jelik melampau’, yang mana antara lain bermaksud kandungan yang memaki dan tidak senonoh yang menyinggung perasaan ramai pihak termasuk rujukan yang kasar, ucapan bernada kebencian dan keganasan.
Dalam huraian yang sama, pemaparan keganasan dalam laporan berita berdasarkan etika kewartawanan adalah tidak termasuk dalam maksud jelik melampau. Begitu juga, apa-apa komunikasi yang dibuat dengan suci hati adalah tidak jelik melampau setakat mana komunikasi tersebut terdiri daripada pernyataan fakta, adalah benar pada isi dan fakta, dan terdiri daripada pernyataan pendapat.