KUALA LUMPUR: Seramai 1,200 peniaga berjaya mendigitalkan perusahaan menerusi program pemantapan yang dilaksanakan dengan kerjasama antara Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, ini merupakan sebahagian usaha berterusan kementerian untuk membangunkan usahawan seluruh negara.

“Kita juga telah mengadakan program pemantapan penjaja dan peniaga kecil tahun ini dengan kerjasama GPPPKMM. Kita telah bekerjasama dengan gabungan ini, 1,200 orang telah ikuti program pemantapan kita di lapan program yang telah diadakan.

“Mereka ini daripada menjual secara konvensional boleh beralih menjual secara dalam talian melalui latihan-latihan yang disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.



Jelasnya, selain tumpuan kepada aktiviti pembangunan usahawa, kementeriannya juga telah mendokumentasikan dasar yang jelas bagi mewujudkan ekosistem keusahawan yang mempan.

Antaranya, Pelan Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil (P3PK) 2023 – 2027 yang merupakan satu pelan strategik untuk menyokong pertumbuhan komuniti penjaja dan peniaga kecil di Malaysia khususnya untuk tempoh lima tahun yang akan datang.

Pelan yang bertemakan ‘Memacu Kelestarian Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil Melalui Persekitaran Kondusif dan Holistik’ ini berpaksikan lima teras strategik dan diperkukuhkan dengan 17 strategi serta 29 inisiatif.

Bagi usahawan informal pula, Ewon berkata, KUSKOP dalam proses akhir mendapatkan kelulusan bagi penggubalan Garis Panduan Kawal Selia Perniagaan Dari Rumah yang akan menjadi asas dan panduan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dalam melaksanakan pematuhan kepada perundangan komersial sedia ada.

Garis panduan ini akan memberi penerangan umum berhubung tatacara permohonan lesen perniagaan dari rumah berserta syarat-syarat yang perlu dipatuhi untuk memastikan perniagaan dari rumah dapat dioperasikan dengan selamat dan tidak menimbulkan kacau ganggu terhadap penduduk setempat.

KUSKOP mengadakan Program Mini Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Tahun 2023 (MKHPPK 2023) dirangka sebagai salah satu inisiatif Kementerian bagi program Jelajah Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan (road to HPPK 2023).

MKHPPK 2023 ini akan diadakan pada 21 dan 22 September 2023 (Khamis dan Jumaat) selama 2 hari bertempat di Dewan Kadamaian Square, Taginambur, Kota Belud, Sabah.

Kerajaan telah mewartakan tarikh 18 November pada setiap tahun sebagai Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) bagi menghargai sumbangan golongan penjaja dan peniaga kecil terhadap ekonomi negara.