Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia juga akan menerima prinsip masa depan bersama yang dipromosikan oleh China untuk menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN.
"Pendekatan ini akan membolehkan kami, apabila menjadi tuan rumah Majlis Kerjasama ASEAN-Teluk (ASEAN-GCC), untuk meliputi apa yang disebut sebagai Sidang Kemuncak ASEAN-GCC dan ASEAN-China.
"... Yang akan memberi kesan besar terhadap hala tuju pertumbuhan serantau dan akan memberikan sumbangan yang signifikan dalam mendorong ke arah kesaksamaan global yang lebih besar dalam perdagangan ekonomi, pelaburan, dan kemajuan ekonomi," katanya di sini pada Selasa.
Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) ke-7, di Pusat Pameran dan Konvensyen Kebangsaan (NECC) di sini, pada Selasa.
Tahun ini, Malaysia telah diberikan penghargaan sebagai 'Country of Honour' di CIIE ke-7, yang berlangsung selama enam hari, bermula hari ini.
Anwar diberi penghormatan untuk berucap sebaik selepas ucapan Premier China Li Qiang, sebelum diikuti lima pemimpin negara lain iaitu Perancis, Nicaragua, Arab Saudi, Tanzania dan Uzbekistan.
CIIE merupakan inisiatif China untuk menyediakan satu platform kepada negara yang terlibat dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), bagi mempromosi dan mengeksport barangan dan perkhidmatan ke negara itu.