Bukan sahaja di media-media konvensional, bahkan, perbincangan keruntuhan rumah tangganya dengan Fazura yang berusia tujuh tahun itu juga mendapat perhatian warga netizen.
Cuba mendasari emosinya, tiada siapa dapat menelah apa yang sedang bersarang di hati aktor tampan berusia 33 tahun yang juga ayah kepada Nur Fatima Aisyah yang berusia 4 tahun itu.
Pagi tadi, Astro AWANI berkesempatan bertemu Fattah yang menyertai program Lumba Lari 3 Pagi Era di perkarangan Astro Bukit Jalil, di sini.
Tenang wajahnya menerima kehadiran wakil Astro AWANI dan menyambut kami dengan senyuman.
Memahami tugas wartawan, Fattah tidak mengelak, sebaliknya, ramah menegur dan bertanya khabar.
Redup matanya membawa maksud yang sangat mendalam - ada kesedihan yang sedang bersarang dalam dirinya.
Mesej yang diterima sangat jelas, Fattah mahu ‘menyepi’ seketika daripada berbual perihal peribadi. Sudah lelah, barangkali.
Atau paling utama, Fattah mahu kembali meneruskan hidup seperti sebelum ini.
Justeru, jadual hariannya difahamkan sangat padat. Pelakon itu sedia maklum, perubahan dalam kehidupan peribadi tidak boleh sama sekali menjejaskan kariernya yang menjadi punca pendapatannya.
Justeru, wawancara lebih terarah pada kerjaya seninya yang perlu memenuhi pelbagai tuntutan dan komitmen yang awal-awal lagi sudah dipersetujuinya.
Kata Fattah, fokus utamanya kini ialah pada kempen Tabik Wira Kita yang diusahakan syarikatnya, Fattah Amin Management.
Menurut beliau, kempen Tabik Wira merupakan insiatif syarikatnya yang mendapat kerjasama daripada Kementerian Pertahanan.
Katanya, turut menyertainya menjayakan kempen itu ialah 28 lagi pempengaruh lain.
Projek ini, ujarnya, merupakan kandungan penghargaan terhadap wira-wira negara melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang telah banyak berkorban demi keamanan negara.
"Meskipun Malaysia berada dalam keadaan aman tetapi setiap hari kita terdedah dengan pemberitaan di kaca televisyen yang mana beberapa negara luar contohnya Palestin yang terus berdepan dengan konflik.
"Kita kena rasa sentiasa cintakan tanah air, memupuk semangat jati diri dengan miliki persediaan mempertahankan tanah air. Walaupun kita tak berjuang secara fizikal, tetapi apa yang kita ada sekarang adalah kekuatan di platform media sosial.
"Kita tengok anak muda sekarang menggunakan sepenuhnya kuasa media sosial, kita ambil inisiatif hasilkan kandungan untuk terus menyebarkan kesedaran pentingnya untuk kita menyokong dan mempertahankan keamanan negara kita kerana kita kena sedar di luar negara banyak peperangan berlaku. Bila berlaku apa kena buat, kesedaran ini semua orang perlu ada," jelas Fattah panjang lebar.
Berkongsi lanjut, aktor itu turut berkongsi pengalaman menjalani latihan ketenteraan di Kem Tentera Port Dickson selama dua hari pada September lalu.
"Saya sendiri menjalani latihan di dalam kem dan beberapa Latihan tentera saya ikut, memang saya sedar dan libatkan diri bahawa latihan ketenteraan ini sebenarnya bukan mudah.
"Sebelum mereka diserap menjadi anggota tentera, mereka sebenarnya berdepan dengan latihan yang sangat berat.
“Untuk jadi tentera bukan satu tugas suka-suka, bukan sekadar gaji, elaun tapi mereka sanggup mempertaruhkan nyawa. Bila saya sendiri sertai latihan, baru saya tahu bukan mudah. Kita harus menghargai pengorbanan mereka," katanya bercerita penuh semangat.