Ketika ditemui Ohbulan!, peguam yang mewakili Fattah iaitu Puan Syamimi Ab Rahman berkata, keputusan itu dibuat selepas kedua-dua belah pihak bersetuju dengan terma yang telah ditetapkan.
"Untuk terma tuntutan hadanah, kedua belah pihak telah bersetuju untuk memberikan hak penjagaan anak sepenuhnya kepada Fazura selaku ibu kandung," ujarnya.
Syamimi berkongsi perkara tersebut ketika ditemui selepas selesai prosiding tuntutan hadanah melibatkan Fattah dan Fazura di Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam pada Selasa.
Mengulas lebih lanjut, Syamimi memaklumkan anak guamnya itu tetap mendapat hak lawatan bermalam dan lawatan harian meskipun hak penjagaan jatuh sepenuhnya kepada Fazura.
"Untuk hak lawatan ada dua terma iaitu lawatan bermalam dan lawatan harian.
"Untuk lawatan bermalam, Fattah diberikan hak sebanyak dua kali dalam sebulan bergantung kepada kelapangan Fattah iaitu jemput Fatimah pada hari Jumaat dan pulangkan semula pada hari Ahad.
"Fattah juga perlu memaklumkan dua hari sebelum minggu lawatan untuk bermalam dengan Fatimah. Manakala, untuk lawatan harian dan tanpa bermalam, Fattah dibenarkan untuk meluangkan masa bersama Fatimah sebanyak tiga kali seminggu," katanya.
Sementara itu, Fazura ketika ditemui usai prosiding meluahkan rasa syukur kerana semuanya sudah selesai manakala Fattah enggan ditemu bual pengamal media.
"Alhamdulillah, saya tak ada apa-apa yang mahu diulas. Saya serahkan semua pada peguam saya," katanya ringkas.
Terdahulu, Fattah dan Fazura sah bercerai talak satu sekitar pukul 9.45 pagi pada 7 Oktober lalu dan lafaz itu tersebut dibuat di hadapan Hakim Syarie, Abdul Malik Soleh.
Selepas sah bercerai, Fazura mendakwa dia nekad minta dilepaskan kerana Fattah berlaku curang terhadapnya. Malah, aktres itu mendakwa dia mempunyai bukti kecurangan dilakukan Fattah.
Walau bagaimanapun, Fattah menafikan kesemua dakwaan berkenaan selain menganggap tuduhan dilemparkan bertujuan memalukan dirinya.
Sekadar info, Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dan dikurniakan Nur Fatima yang kini berusia 4 tahun. -- Sumber Oh Bulan/Gempak