Pasangan Shuib dan Siti Sarah Raisuddin telah diraikan dalam satu majlis persandingan yang cukup meriah dan romantis di Bora Ombak, Marina Putrajaya malam semalam.

Buat pertama kali Shuib dan Siti Sarah bersanding dan duduk di atas pelamin selepas enam tahun mendirikan rumahtangga.

Majlis resepsi itu diadakan sebagai melunaskan janji Shuib kepada isterinya sekaligus sempena meraikan ulang tahun perkahwinan mereka.

Pun begitu, ia bukan sebuah majlis persandingan biasa kerana pada malam tersebut mereka telah membawa tetamu untuk sama-sama mengimbau kenangan mereka selama enam tahun melayari bahtera sebagai suami isteri.

Berikut merupakan lima momen romantis yang dilakukan pasangan ini sepanjang majlis persandingan mereka:

shuibsitisarahsweetmomen6.JPG
1. Diiringi masuk dengan lagu My Baby You oleh Syamel
Belum pernah dilihat mempelai masuk ke dewan dengan diiringi seorang penyanyi yang menyanyi secara langsung sambil berjalan masuk ke dalam dewan, tapi itulah yang dilakukan mempelai. Suasana romantis menyelebungi seluruh dewan apabila mendengar suara Syamel menyampaikan lagu My Baby You dengan baik sekali.

shuibsitisarahsweetmomen5.JPG
2. Shuib Menyanyi Untuk Siti Sarah
Selesai sahaja menepung tawar, Shuib secara tiba-tiba bangun dan memberitahu "Enam tahun lalu saya mengimpikan majlis ini.." kemudian dia membuat kejutan menyampaikan sebuah lagu berjudul Aku Lelakimu nyanyian asal penyanyi Indonesia, Virzha. Shuib memberitahu lirik lagu itu dekat dengannya kerana ciri-ciri wanita dalam lagu itu sama dengan isterinya. Shuib menyanyi sambil memandang tepat wajah Sarah yang ketika itu terharu sehingga melahirkan air mata. Sarah pula memandang suaminya seolah-olah menghayati bait-bait lagu yang disampaikan.

shuibsitisarahsweetmomen1.JPG
3. Kejutan Cincin Berlian
Tidak cukup dengan kejutan menyanyi, Shuib kemudian membuat lagi satu kejutan yang besar apabila tiba-tiba muncul dengan sebentuk cincin bertatah berlian. Siti Sarah ketika itu terus terpinga-pinga dengan apa yang berlaku dan dalam masa yang sama terharu menerima sebentuk cincin yang disarung oleh Shuib. Mereka kemudian saling berpelukan di atas pelamin sambil disaksikan oleh tetamu yang hadir.

shuibsitisarahsweetmomen.JPG
4. Bawa anak naik atas pelamin
Biasa kita hanya dengar bunting pelamin tetapi berbeza dengan mereka apabila bawa anak naik atas pelamin. Ketika Sarah menyampaikan lagu Kaulah Segalanya mereka saling berpelukan disamping dua orang anak mereka yang hadir pada malam itu iaitu Uwais, 5, dan Ariq Matin 1. Sweet sangat bila lihat mereka seperti sebuah keluarga yang bahagia.

shuibsitisarahsweetmomen7.JPG
5. Tayangan video pernikahan
Ketika mempelai di meja makan beradab, sebuah video pernikahan mereka ditayangkan. Satu dewan menyaksikan detik-detik pernikahan mereka enam tahun lalu. Mempelai turut menonton video tersebut seolah-olah mengimbau kembali kenangan saat mereka diijabkabulkan. Sebuah lagi video yang mengumpulkan semua foto-foto dari awal perkahwinan hingga detik melahirkan anak-anak mereka turut ditayangkan. Sarah memberitahu setiap foto itu beri penuh makna kepadanya.

Majlis persandingan mereka dihadiri lebih 500 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga terdekat kedua mempelai serta sahabat handai dan rakan artis.

Antara rakan artis yang hadir adalah Jep Sepahtu, Sari Yanti, Shaheizy Sam, Syatila Melvin, Hanis Zalikha, Hairul Azreen, Datuk M.Nasir, Datin Marliah Musa, Datuk Yusof Haslam, Rahim Sepahtu, Sharifah Shahira, Zizan Razak dan ramai lagi.