Insiden kekecohan yang berlaku pada sekitar jam 11.15 malam Sabtu itu dikatakan tercetus susulan berlaku isu salah faham antara pihak penganjur dan band berkenaan.
Difahamkan, kumpulan berkenaan telah didatangi dua individu lelaki mewakili pihak penganjur sebelum dilemparkan kata-kata kesat dan ancaman bunuh.
Menurut vokalisnya, Ian Kasela, pihaknya tidak dimaklumkan berhubung sesi 'Meet And Greet' bersama peminat dan beberapa lagi aktiviti lain yang berada di luar perbincangan.
"Kami telah dimaki dengan kata-kata kesat, individu itu ugut untuk bunuh kami jika masih berada di sekitar Malaysia.
"Kita agak kecewa kerana telah lakukan yang terbaik untuk konsert ini dan kami tidak berkira untuk bergambar bersama peminat sewaktu konsert berlangsung.
"Keadaan jadi panik kerana kami datang ke Malaysia ada yang bawa anak-anak bersama tetapi pihak yang terlibat seperti tidak pedulikan situasi yabg berlaku," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.
Menurutnya lagi, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah bahkan sedia untuk memberikan komitmen yabg terbaik kepada pihak penganjur.
Dalam masa sama, Ian turuk memaklumkan berhubung sesi bergambar bersama menteri dan pihak kedutaan bagaimanapun penantian mereka di ruang menunggu tidak didatangi oleh mana-mana individu yang dimaksudkan.
Malah, individu berkenaan dikatakan terus bertindak agresif dan mencetuskan provokasi dengan bertindak menendang meja.
Situasi yang mencetuskan panik itu juga katanya telah membuatkan kumpulan band berkenaan untuk mempertimbangkan semula untuk hadir ke Malaysia yang dijadual selepas Ramadan.
"Ikut pada perancangan, kami akan kembali ke Kuala Lumpur selepas Ramadan tetapi selepas apa yang berlaku kami jadi bimbang apatah lagi terima ancaman bunuh.
Kami kecewa dengan pihak penganjur dan ancaman bunuh ini merupakan satu perkara yang serius walaupun kami telah berikan komitmen yang terbaik," katanya lagi.
Buat masa ini, pihaknya juga telah membuat laporan di Balai Polis Larkin dan sedang menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk pulang ke Indonesia.
Penganjuran konsert Radja Majestic Johor pada 11 Mac merupakan yang kali pertama diadakan di negeri berkenaan.