MEREKA yang lahir sekitar tahun 80an, malah yang lebih awal juga, ada banyak kenangan bersama rancangan televisyen.

Pada zaman itu, rancangan televisyen menjadi hiburan utama selain bermain dengan kawan-kawan di luar, main bola sepak, galah panjang, takraw dan banyak lagi.

Jadi, kalau pada waktu itu sebut sahaja Sesame Street, pasti ramai yang tahu walau tidak tengok selalu. Biasanya dapat bayangkan watak Big Bird dan rakan-rakan bonekanya.

Bulan ini sebenarnya, sudah 52 tahun rancangan itu bersiaran dan selepas lebih lima dekad, Sesame Street memperkenalkan Ji-Young, watak Amerika-Asia pertama siri tersebut.

Dalam bahasa Korea secara tradisinya dua suku kata itu masing-masing bermaksud sesuatu yang berbeza, dengan Ji bermaksud bijak.

“Young pula bermaksud, seperti, berani atau kuat,” jelas Ji-Young semasa wawancara baru-baru ini, lapor South China Morning Post.

Ji-Young mencipta sejarah sebagai boneka Amerika-Asia pertama dalam rancangan Sesame Street dan wataknya itu mempunyai dua minat: bermain gitar elektrik dan bermain papan selaju.

Karakter terbaharu itu akan diperkenalkan secara rasmi dalam See Us Coming Together: A Sesame Street Special dalam masa terdekat.

Sebahagian perwatakan Ji-Young datang dari penciptanya, Kathleen Kim, 41, yang merupakan rakyat Amerika-Korea, sudah menceburi bidang mereka boneka pada usia 30-an.

Pada 2014, dia diterima masuk ke bengkel Sesame Street, terus berkembang dan kemudian
menjadi sebahagian daripada pasukan pada tahun berikutnya.

Bagi Kim, adalah penting bahawa Ji-Young tidak dilabel sebagai Pan-Asia.

“Kerana itu adalah sesuatu yang semua orang Amerika-Asia pernah alami. Mereka semacam mahu meletakkan kami ke dalam satu golongan seperti itu.

“Jadi adalah sangat penting bahawa Ji-Young dikenali secara khusus sebagai  orang Amerika-Korea dan dilahirkan di sini,” katanya.

Satu perkara yang Ji-Young akan bantu mengajar kanak-kanak ialah cara menjadi "upstander" atau penyokong yang baik.

Sesame Street pertama kali menggunakan istilah itu pada segmen khas The Power di We TV tahun lepas, yang menampilkan Tamir.



** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!