KERAJAAN telah sedia mengumumkan pelaksanaan pelesenan platform media sosial, dan dengan tibanya tahun baharu 2025, arahan berkenaan mula berkuat kuasa hari ini.

Dengan langkah ini, semua platform media sosial yang mempunyai sekurang-kurangnya 8 juta pengguna diperlukan mempunyai lesen untuk beroperasi di Malaysia, jika tidak, ia telah melanggar akta yang ditetapkan.

Langkah perlesenan ini dilakukan dalam memastikan pengendali lebih bertanggungjawab dalam menguruskan platform masing-masing, di samping memastikan kandungan yang berbahaya termasuk lucah, perjudian dan penipuan dikekang.

Proses perlesenan ini adalah untuk platform media sosial dan bukannya untuk orang perseorangan.

Sebanyak 8 platform media sosial diperlukan untuk memohon lesen buat masa ini, iaitu WhatsApp, Facebook, Instagram, X (dulunya Twitter) YouTube, Telegram, WeChat dan juga TikTok.

Walaubagaimanapun, tiada sebarang lesen yang dikeluarkan buat masa ini, membuatkan kesemua platform ini kini melanggar peruntukan yang telah ditetapkan.

Tidak diketahui lagi apakah perancangan lanjutan pihak kerajaan berkaitan dengannya, memandangkan kerajaan telah mengatakan tidak akan menghalang akses kepada platform tersebut buat masa ini.

Mengikut perkongsian terakhir, dikatakan Telegram dan WeChat telah memulakan proses permohonan pelesenan berkenaan.

Platform yang disabitkan bersalah di bawah pelaksanaan pelesenan baharu ini boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 serta ditambah denda setiap hari bagi kesalahan berterusan.