United tumpas 0-2 kepada Newcastle United kelmarin dan ini bermakna mereka menamatkan 2024 di tempat ke-14, kedudukan terendah mereka dalam liga sejak 1989.
Kekalahan itu juga menyaksikan The Red Devils buat kali pertama sejak 1979 tewas tiga perlawanan liga berturut-turut di tempat sendiri.
Ruben Amorim juga mengharungi permulaan yang sukar dalam tempoh perkhidmatannya di United setelah menanggung lima kekalahan dalam lapan perlawanan liga pertamanya sebagai pengurus - yang merupakan rekod terburuk untuk pengurus United dalam tempoh 103 tahun.
Ketika Ferdinand mengupas isu-isu yang masih berlegar di United, fikirannya kembali kepada tempoh perkhidmatan Rangnick yang mengemudi United sebanyak 29 perlawanan pada 2021-22.
Pengurus Jerman itu pernah mencadangkan kelab itu memerlukan rombakan besar-besaran,baik di dalam mahu pun di luar padang.
Bercakap di saluranRio Ferdinand Presents, dia berkata: "Ralf Rangnick berkata United memerlukan pembedahan jantung kerana tiada penyelesaian segera. Pandangannya tidak salah!
"Sejauh mana kebenaran kata-kata itu yang sekarang? Dia difitnah dan diejek apabila dia mengatakan kata-kata itu. Padahal dia dipihak yang benar.
"Dan saya fikir Amorim akan duduk dan akan memikirkan perkara yang sama." - Stadium Astro