IPOH: Perak mencatatkan kedatangan lebih 8.4 juta pelancong sehingga November tahun ini, sekali gus melepasi sasaran sebanyak 8.3 juta orang.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, daripada data yang diperolehi daripada soal selidik Tourism Malaysia juga menunjukkan sehingga September 2024, seramai 627,292 pelancong antarabangsa telah melawat negeri Perak.

“Angka ini merupakan peningkatan sebanyak 135 peratus berbanding kempen Tahun Melawat Perak 2017,” katanya ketika berucap pada Finale Tahun Melawat Perak (TMP) 2024 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru, di sini, malam tadi.

Lebih 35,000 pengunjung membanjiri Bulatan Sultan Azlan Shah yang turut diserikan dengan pelbagai aktiviti dan sambutan Tahun Baru 2025.

Menurut Saarani, walaupun Ipoh dan Pulau Pangkor terus menjadi destinasi tumpuan utama, apa yang lebih menarik ialah kejayaan luar biasa daerah Larut, Matang dan Selama yang mencatatkan lebih satu juta pelawat, menjadikannya daerah ketiga tertinggi menerima pelancong di Perak.

“Produk-produk seperti Muzium Telegraf, Antong Coffee dan Trong Leisure Farm menjadi daya tarikan utama dan menyaksikan peningkatan pengunjung sebanyak 30 peratus, berbanding tahun sebelumnya,” ujarnya.

Beliau berkata, peningkatan itu membuktikan bahawa sektor pelancongan bukan sahaja memberi manfaat kepada kawasan bandar, tetapi juga memberi limpahan ekonomi kepada kawasan luar bandar dan pinggir bandar yang kaya dengan keunikan dan warisan tersendiri.

Bagaimanapun, katanya, kejayaan itu tidak akan tercapai tanpa usaha dan kerjasama daripada pelbagai pihak seperti agensi kerajaan, pemain industri, dan yang paling penting, rakyat Perak.

“Namun, kejayaan Tahun Melawat Perak 2024 bukan penamat kepada usaha kita. Meskipun tirai TMP 2024 dilabuhkan, usaha mempromosi Perak akan diteruskan dan dipergiatkan sebagai persiapan menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026,” tambahnya.

Sehubungan itu, ujarnya, dalam Belanjawan 2025, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM11.31 juta untuk pelbagai projek pembangunan pelancongan dan kebudayaan di seluruh negeri.

Menurutnya, sebagai persediaan menyambut TMM 2026, kerajaan negeri turut merangka projek infrastruktur pelancongan jangka panjang di beberapa daerah strategik.

Katanya, ia turut membabitkan pembangunan pusat pelancongan bersepadu di kawasan luar bandar yang berpotensi besar, menaik taraf laluan akses ke destinasi popular, serta memperkenalkan lebih banyak aktiviti ekopelancongan dan pelancongan budaya.