K. Karan, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Mengikut pertuduhan, dia yang masih bujang didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah dengan menggunakan parang ke atas L Linggam, 30, sehingga tangan kirinya terputus.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah, Ipoh kira-kira jam 11 pagi, 23 Jun 2024.
Pertuduhan dilakukan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.
Mahkamah membenarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N.M. Moganaraj Mithra manakala tertuduh diwakili peguam J.K Kala.
Sementara itu, pada prosiding di Mahkamah Majistret kemudiannya, Karan bersama lima rakannya dan lapan orang yang masih bebas dituduh merusuh menggunakan parang, kayu dan parang di tempat, tarikh dan waktu yang sama.
Pertuduhan dilakukan di bawah Sesyen 148 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga boleh sampai lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Karan mengaku tidak bersalah manakala N. Kumaresan, 30, R. Navinthiran, 34, S. Kalidas, 28, G. Loghendraan, 28 dan Mohamad Omar Din Syed Mohamad Khan, 29 mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret S. Punitha.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM2,500 atau lima bulan penjara jika bayar denda terhadap kelima-lima tertuduh yang mengaku bersalah.
Mahkamah membenarkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin terhadap Karan dan menetapkan 10 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Vatchira Wong Rui Fern manakala semua tertuduh diwakili Peguam JK Kala.