Filem pendek hasil garapan Mamat ini menampilkan watak-watak komedi termasuk Barkoba, Pak Jabit, Pak Din, Pak Karim, Cik Purnama, Ahmad Yassin, Faguha Jabar dan ramai lagi penduduk dari Kampong Pisang.
Mamat yang cukup sinonim dengan hasil kreativiti yang sering mencuit hati peminatnya memilih tema perpaduan dalam kalangan penduduk Kampong Pisang.
Menurut Mamat, filem ini sarat dengan elemen perpaduan serta memartabatkan adat serta budaya kepelbagaian bangsa di Malaysia.
"Filem pendek ini menjurus kepada kefahaman rakyat Malaysia yang terdiri dari berbilang kaum dan bagaimana kerjasama antara kaum itu mampu menjamin keamanan negara dan meredakan segala pertelingkahan dengan wujudnya amalan bersatu padu," kata Mamat, dalam temu bual bersama Astro AWANI di sini, pada Rabu.
"Sesiapa sahaja yang menonton filem pendek ini akan menyedari filem ini adalah cerminan aspirasi dalam masyarakat kita menerima kepelbagaian budaya dan bangsa serta mampu hidup secara harmoni," kata Mamat.
'Kampong Pisang Kita Setandan' berkisar Teck Zee yang merupakan anak kepada Ng Chee Lam menerima bantahan keluarga untuk mengahwini gadis pilihannya.
Rakan-rakan Teck Zee, yang diketuai oleh Pak Din Pest Control cuba untuk membantu rakannya itu dengan mencari penyelesaian sambil memastikan keharmonian di Kampong Pisang tidak terjejas.
Dibintangi Kazar Saisi, Bell Ngasri, Aziz M Osman, Dewa Sapri, Mat London, Ahmad Yasin dan Rashid Othman, Kampong Pisang Kita Setandan turut meampilkan kemunculan istimewa Wong Wei Tian dan Bulan Terry.
Kampong Pisang Kita Setandan boleh ditonton di Astro 25 (Saluran 100) pada Khamis dengan penstriman langsung di platform Astro On Demand dan Astro Go.
Sempena sambutan Hari Malaysia, filem berdurasi 30 minit ini juga dapat ditonton di:
- Khamis (Sept 16), 5.30 petang di Astro Prima (Saluran 105)
- Khamis (Sept 16) 9.30 malam di Astro Ria (Saluran 104)
- Sabtu (Sept 18), 10 malam di Astro Warna (Saluran 107)
- Isnin (Sept 20), 8 malam di Astro Citra (Saluran 108)