Penyertaan Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris sedikit sebanyak memberikan kelainan dalam program hiburan, Gegar Vaganza pada tahun ini.

Mana tidaknya, seperti semua sedia maklum bahawa penyanyi kelahiran Kluang, Johor ini sangat sinonim dengan muzik etnik berbanding peserta sedia ada.

Namun menurut Noraniza yang lebih mesra dipanggil Kak Ani, jika melihat pada pendiriannya, beliau tidak merasakan bahawa GV adalah platform buat dirinya.

"Kalau ikut pendirian, pada awalnya Gegar Vaganza bukan tempat Kak Ani secara jujurnya, sebab Kak Ani rasa dari hari Kak Ani perjuangkan irama Malaysia itu sangat tegar.

"Namun selepas tiga kali diajak oleh pihak Astro, Kak Ani cuba mendapatkan pandangan keluarga namun tidak dibenarkan sehingga Murshid Eunos (pengurus) hadir dan dia memberi inspirasi untuk Kak Ani menyertai GV pada tahun ini " katanya selepas sidang media Gegar Vaganza yang diadakan di Ibu Kota Kuala Lumpur, pada Selasa.

.

Pada masa sama, penyanyi yang popular dengan lagu Dikir Puteri menyatakan bahawa beliau bersedia menerima kritikan dan harapannya ialah untuk mengangkat muzik irama Malaysia selepas program tersebut tamat.

Selain Noraniza Idris penyanyi yang menyertai GV pada tahun ini ialah Nomad, Eva, Haslinda, Ayu Damit, dan vokalis kumpulan May, Mus.

Gegar Vaganza akan mula bersiaran di Astro Ria dan Astro Ria HD pada 11 Oktober, jam 9 malam.

BACA: Noraniza Idris, Yantzen, Mus antara peserta Gegar Vaganza musim baharu