PENYANYI Amir Jahari menyifatkan media sosial adalah platform yang menjadi punca sesetengah individu mengalami masalah kesihatan mental sehingga berdepan tekanan perasaan.

Peranan penting ibu bapa

Menurut Amir atau nama sebenar, Mohamad Amirullah Jahari, 32, kurangnya ikatan terutama terhadap ibu serta pengalaman negatif pada awal usia boleh menjejaskan kesihatan sosial, emosi seta perkembangan anak-anak.

“Perkara ini sangat bahaya buat generasi baharu. Bagi saya Islam zaman kini hanya di kad pengenalan saja, ia adalah ilmu pengetahuan yang kita belajar tetapi tidak diamalkan. Perkara itu kerisauan dari zaman dahulu lagi.

“Ia sebenarnya berbalik kepada ibu bapa, sekiranya ibu okay pasti anak-anak okay. Belajar untuk menjadi ibu bapa.

“Saya sedar masalah ini terjadi kerana media sosial juga. Sebagai contoh, kanak-kanak hingga besar mereka perlukan perhatian. Kita hanya beri pelajaran sehingga mental mereka lemah. Jadi apabila mereka meningkat remaja, mereka akan tunjuk masalah itu ada akan timbul,” ujarnya kepada pemberita.

Amir ditemui pada majlis peluncuran album terbaharunya yang berjudul Kembali di The Curve, Petaling Jaya, Selangor pada Rabu.

Media sosial bukan penyelesaian

Dalam pada itu, pelantun lagu hits Hasrat itu turut berpesan agar sentiasa mendapat bantuan seperti bercakap dengan seseorang yang boleh dipercayai atau hubungi talian bantuan untuk dapatkan nasihat daripada pakar psikiatri.

“Buat anak-anak di luar sana yang berasa seperti ‘kenapa masih begini?’, setiap kali ada pemikiran sebegitu, rasa pelik dengan diri sendiri, tolong cari bantuan seperti hubungi Befrienders, pergi hospital bawa keluarga bersama untuk dapatkan bantuan profesional. 

“Anda takkan dapat jawapan dari media sosial, perkara ini hanya dapat jumpa bersama  psikiatri yang faham psikologi. Mereka lebih tahu bagaimana untuk mengawal diri anda dan sebagainya.

“Kita merdeka sudah 67 tahun, sistem kita masih lagi baharu berbanding negara Eropah dan sebagainya. Dalam perkara falsafah, pelajaran, kesedaran mengenai kesihatan mental kita masih lagi kebelakang. Jadi pihak kerajaan perlu lebih proaktif menangani perkara tersebut,” ujarnya lagi.

Album ketiga selepas Penghibur Jalanan serta Siang dan Malam itu mendapat sentuhan magis beberapa produser dan pemuzik tanah air.

Memuatkan 15 buah lagu – 12 lagu baharu serta tiga lagu yang dirakam semula, pelbagai genre lagu sentuhan pop-rock-folk dengan pengaruh nusantara yang turut mengangkat tema kemanusiaan serta kerohanian.