PENYANYI tempatan yang sedang menempa nama di persada antarabangsa, Jessie Chung tidak menyangka apabila album terbarunya, Be Strong mengusai carta muzik dan radio di Taiwan.

Be Strong juga berjaya menduduki tempat pertama dalam carta jualan album Five Music’s International Chart menewaskan album artis popular antrabangsa seperti Ed Sheeran yang menduduki tangga kedua, diikuti Adele, Chainsmokers, Ariana Grande, Madonna dan Coldplay.

Lebih membanggakan apabila album Inggeris kedua Jessie, 33, itu turut mencipta sejarah apabila berjaya menguasai carta muzik dan senarai lagu di stesen-stesen radio di Taiwan dalam tempoh dua minggu selepas ia dilancarkan.

“Sedikit pun saya tidak menyangka album saya akan mendapat tempat di hati peminat muzik di Taiwan dan menewaskan nama-nama popular seperti Ed Sheeran dan Madonna.

“Saya terlalu gembira dan tidak berhenti menangis berhari-hari kerana tidak percaya dengan sambutan terhadap Be Strong, tambahan lagi saya difahamkan peminat muzik di Taiwan lebih menggemari lagu berentak Balada sedangkan lagu saya berentak Pop Rock.

“Usaha dan kerja keras saya selama ini berbaloi,” katanya ketika ditemui pada sidang media Anugerah Platinum Be Strong, bertempat di Wisma NHF, Shah Alam, baru-baru ini.

Antara lagu yang terkandung di dalam Be Strong dalah Be Strong, Captured My Heart, Forever Young, Possibility, I Don’t Care, Love Is Coming Home dan Feel My Love.

Muzik video Be Strong dan Forever Young telah dimuatnaik di YouTube dan ditonton lebih tiga juta penonton

Penyanyi kelahiran Sarawak itu juga kini sedang membina nama dan mengembangkan bakatnya di Australia.

“Tahun ini saya agak sibuk dengan persiapan untuk showcase mempromosikan album Be Strong di Malaysia, Taiwan, Australia, London, New York, Canada, Jepun, Hong Kong, Singapura, China, Filipina, Thailand dan Indonesia

“Jadual saya agak padat dan saya perlu sentiasa bijak membahagikan masa saya kerana saya juga terlibat dalam pementasan teater berjudul Music Box yang akan dipentaskan di beberapa negara terpilih seluruh dunia,” katanya.

Dalam pada itu pemegang Ijazah Perubatan dalam Perubatan Cina dan Western Integrative Medicine-Oncology dari Guangzhou University of Chinese Medicine ini berkata, tujuannya menjadi penyanyi adalah untuk memberi inspirasi kepada masyarakat seluruh dunia menerusi lagu-lagunya.

"Walaupun saya memiliki ijazah dalam perubatan saya tetap ingin meneruskan karier sebagai penyanyi tetapi dalam masa sama saya tidak melupakan bidang perubatan dan ilmu yang telah saya miliki dalam bidang tersebut.

“Sebab itulah saya gunakan nyanyian sebagai platform untuk saya menyebarkan mesej kepada orang ramai tentang pentingnya mejaga kesihatan.

“Saya mahu membantu semua orang untuk sentiasa menjadi sihat. Saya mahu memberi inspirasi kepada semua masyrakat menerusi lagu-lagu saya," katanya.