FILEM aksi heist nombor satu pilihan ramai ketika ini, The Experts terus mencipta kejayaan apabila berjaya meraih kutipan RM10juta. Filem terbitan Astro Shaw dengan kerjasama ZAK Capital dan TGV Pictures ini telah menjadi kegemaran penonton dan menerima ulasan positif daripada peminat dan pihak media.

Hujung minggu lalu barisan pelakon The Experts, Datuk Aaron Aziz, Syafiq Kyle, Mimi Lana dan Ray Dapdap telah turun ke negeri Johor dan Melaka bagi siri jelajah filem. Kehadiran mereka telah disambut meriah oleh ratusan peminat dan penonton dari pelbagai latar usia di sana. Hari ini para pelakon akan berada di sekitar pawagam Lembah Klang untuk sesi bertemu peminat.

Barisan Pelakon The Experts Diserbu peminat di TGV Tebrau City.

Barisan Pelakon The Experts Diserbu peminat di TGV Bukit Indah.

Penerbit Eksekutif The Experts yang juga Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, berkata:  “Alhamdulillah, kami amat berterima kasih atas sambutan luar biasa yang diterima oleh The Experts. Kejayaan ini adalah hasil usaha bersama seluruh pasukan yang menjayakan The Experts dan sokongan padu daripada penonton yang percaya dengan karya tempatan ini. Kami berharap The Experts terus mencuri hati penonton dan mengukuhkan kedudukan filem Malaysia dalam bersaing dengan filem antarabangsa," katanya.

The Experts diarahkan oleh pengarah Andre Chiew dan Nizam Shah serta menonjolkan persembahan mantap pelakon-pelakon hebat tanah air, seperti Datuk Aaron Aziz, Syafiq Kyle, Mimi Lana, Remy Ishak, Ray Dapdap, Maya Karin, Tony Eusoff, Wan Hanafi Su, Jay Iswazir, Douglas Lim dan Michael Ang.

The Experts menyaksikan sebuah keluarga iaitu lima adik beradik yang telah lama meninggalkan kegiatan merompak, kembali berkumpul kerana satu ugutan.

Mereka mendapat arahan daripada gengster paling merbahaya untuk melakukan satu lagi rompakan terbesar berisiko tinggi. Dalam pada itu, mereka masih dibayangi dendam lama daripada tragedi keluarga serta sejarah kejahatan lampau. Bagaimana mereka harus berdepan musuh dan melindungi keluarga? Adakah misi rompakan ini akan menjadi kali terakhir untuk lima adik beradik ini bersama?

Gunakan #TheExpertsMovie #BePartOfTheExperts #SatuRompakanTerbesar di media sosial anda. Ikuti perkembangan terbaru dan info-info menarik filem The Experts di akaun media sosial Astro Shaw menerusi platform Instagram, X, Facebook, TikTok dan YouTube.