FILEM Kahar: Kapla High Council kekal menjadi pilihan filem nombor satu tempatan di pawagam ketika ini dan sekali gus mencipta kutipan RM3 juta dalam tempoh tiga hari tayangan rasmi.
 
Kahar: Kapla High Council Tarik Kepercayaan Penonton Terhadap Filem Tempatan
 
Sepanjang ditayangkan, filem arahan Razaisyam Rashid ini telah berjaya menarik kepercayaan penonton untuk menonton filem tempatan. 
 

Menerusi perkongsian di platfrom X, @iammohsein menyatakan, “There’s no easy way to say this but uh... Kahar: Kapla High Council was actually a very, very good movie. It’s probably one of the most ‘complete’ Malaysian movie. And this is coming from me who totally abhors local productions that cheap out on realistic dialogue.
 
Filem ini bukan sekadar memaparkan babak aksi yang mendebarkan, malah mesej yang diselitkan seperti pentingnya institusi kekeluargaan kepada pembangunan diri seseorang turut meninggalkan kesan kepada penonton.
 
Penerbit Eksekutif Kahar: Kapla High Council dan Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad juga mengucapkan terima kasih atas penerimaan baik penonton terhadap filem tersebut.
 
“Terima kasih kepada penonton Kahar: Kapla High Council. Kami bersyukur dengan penerimaan baik filem ini. 
 
“Melihat reaksi serta komen penonton selepas menonton, rata-rata berkongsi kepuasan mereka dari sudut jalan cerita, kualiti produksi dan memahami mesej yang ingin disampaikan seperti kepentingan institusi kekeluargaan kepada pembangunan diri seseorang.

“Kami mengharapkan lebih ramai memberi peluang untuk menonton filem ini dan berkongsi pandangan
serta pengalaman bersama kami,” ujarnya.
 
Sejak Jumaat lalu telah bermula sesi jelajah Kahar: Kapla High Council di Kedah dan semalam di Perak. 
 
Kehadiran barisan pelakon digamatkan dengan sambutan dan sokongan padu penonton dan peminat.
 
Buat peminat dan penonton, jangan lepaskan peluang untuk temui barisan pelakon di siri jelajah Kahar: Kapla High Counci hari ini 1 Disember di Perak dan seterusnya 6, 7, 8 Disember di Negeri Sembilan, Johor, Melaka, 13, 14,15 Disember di Terengganu, Pahang.
 
Saksikan Kahar: Kapla High Council kini di pawagam seluruh Malaysia dan Brunei, manakala Singapura pada 5 Disember.
 
Kahar: Kapla High Council dibintangi oleh Amir Ahnaf, Aedy Ashraf, Sky Iskandar, Khenobu dan Thompson Goh.
 
Kahar Kapla High Council adalah prekuel kepada drama premium High Council.
 
Astro Shaw juga mendedahkan nama-nama daripada siri premium popular Project High Council yang dikembalikan untuk filem prekuel ini.
 
Barisan pelakon tersebut adalah Fadhli Masoot, Fazziq Muqris, Nadhir Nasar, Naim Daniel, Yusof Hashim (Ucop), Sathisvaran, Hushairy Hussain, Ameer Asyraf dan Hasnul Rahmat.
 
Bercakap mengenai buli, filem terbaharu arahan Razaisyam Rashid iaitu Kahar: Kapla High Council bakal memberikan pengajaran kepada penonton mengenai impak yang berlaku bila budaya buli dibiarkan berleluasa.
 
Malah para pelakon Kahar: Kapla High Council juga menolak sekeras-kerasnya gejala buli yang berlaku dalam kalangan masyarakat.
 
Skrip filem ini ditulis oleh ‘creator’ Project : High Council, Anwari Ashraf bersama beberapa penulis lain. 
 
Filem ini diterbitkan oleh Astro Shaw dengan kerjasama GSC, HM Entertainment dan ZAK Capital.
 
Filem ini turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada Mental Illness Awareness & Support Association (MIASA Malaysia) dan Malaysia Crime Prevention Foundation (MCPF) dalam menghebahkan mesej keganasan bukalah jawapannya dan menyebarkan kesedaran tentang kempen anti buli dan keganasan. 
 
Kerjasama ini menyaksikan anjuran beberapa majlis bersama masyarakat serta menghasilkan video pesanan khidmat masyarakat bersama barisan pelakon.
 
Usaha membawa kempen ‘#StopViolence’, turut memperlihatkan kerjasama dengan Group M untuk papan iklan digital Laguna, Seni jaya, dan AOS bagi memaparkan video kempen anti keganasan. Video tersebut ditayangkan serentak (roadblock) bermula 27 hingga 29 November di sekitar Lembah Klang.
 
Sinopsis: 

Kahar: Kapla High Council mengisahkan tentang Kahar, seorang pelajar tingkatan 4 sekolah berasrama penuh Kolej Ungku Deramat (KUDRAT). 
 
Seorang yang pendiam dan kerap menyisihkan diri, dia sering berasa tertekan kerana bapanya, Dato Abu Yamin, meletakkan harapan begitu tinggi terhadapnya. 
 
Keadaan semakin meruncing apabila dengan tidak sengaja, Kahar terjerumus dalam pemilihan ketua tidak rasmi bagi seluruh badan pelajar. 
 
Kemenangan Kahar membuatkan dia leka dengan kedudukannya itu. -- Gempak