PUTRAJAYA: Buat pertama kali dalam sejarah, dua karakter karya hiburan popular iaitu Keluang Man, serta Kahar dalam siri fenomena Project High Council membuat penampilan istimewa pada perarakan sambutan Hari Kebangsaan ke-67 di sini, hari ini.


Ringkasan AI
  • Penampilan Istimewa Karakter Popular: Watak Keluang Man dan Kahar dari siri Project High Council membuat penampilan pertama kali di perarakan Hari Kebangsaan ke-67, membawa semangat baharu kepada acara tersebut.
  • Sokongan Industri Kreatif Tempatan: Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, menyatakan penyertaan ini melambangkan sokongan kepada industri kreatif tempatan dan bertujuan memeriahkan sambutan Hari Merdeka.
  • Penyertaan Pelakon dan Pemenang Peraduan: Selain Keluang Man dan Kahar, watak-watak lain dari Kahar: Kapla High Council serta 10 pemenang peraduan Lesen High Council turut menyertai perarakan di atas bas KL Hop-On Hop-Off yang dihiasi karakter-karakter tersebut.


Ini merupakan penampilan pertama watak Keluang Man lakonan Nas Muammar Zar dengan sut rasmi di khalayak ramai, di samping Amir Ahnaf yang sinonim dengan karakter Kahar.

Menurut Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, penyertaan ini merupakan satu peristiwa bersejarah bagi Astro Shaw kerana berpeluang menyertai salah satu acara terbesar negara buat pertama kali.

‘’Kami bawakan filem terbitan Astro Shaw iaitu Keluang Man dan Kahar: Kapla High Council menyertai perarakan ini.

‘’Usaha ini adalah lambang sokongan kepada industri kreatif tempatan, sekali gus memeriahkan sambutan Hari Merdeka.

‘’Harapan kami dengan kemunculan individu-individu ini dapat membawa semangat baharu kepada sambutan Hari Kebangsaan, di samping merapatkan lagi hubungan di antara seni, hiburan dan masyarakat,’’ katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Selain itu, turut menyertai perarakan tersebut merupakan watak-watak lain dalam filem Kahar: Kapla High Council.

Antaranya, pelakon Aedy Ashraf yang memegang watak Beja, Sky Iskandar (Megat), Thompson Goh (Li), Khenobu (Jojo), Fazziq Muqris (Zahrin) dan Fadhli Masoot (Hakeem).

Pada masa sama, 10 pemenang bertuah peraduan Lesen High Council dari gempak.com turut bersama di atas bas tersebut.

Kesemua mereka menyertai perarakan Hari Kebangsaan dengan berada di atas bas KL Hop-On Hop-Off yang memaparkan karakter Keluang Man dan watak-watak dari Kahar: Kapla High Council di badan bas tersebut.