KEHIDUPAN kanak-kanak pada tahun 1990an sangat berbeza berbanding kanak-kanak sekarang apatah lagi pada waktu itu, teknologi tidaklah begitu maju malah telefon bimbit pula masih di awal-awal kemunculan.

Walaupun serba-serbi kekurangan, namun kenangan dan momen indah tidak langsung berkurang malah mungkin lebih ‘meriah’ berbanding kanak-kanak sekarang.

Kanak-kanak pada zaman itu, biasanya kalau cuti sekolah, awal pagi lagi mereka bangun, mandi dan usai sarapan, duduk di depan televisyen untuk menonton rancangan animasi popular.

Pada waktu petang, mereka keluar bermain dan selepas selesai mandi, sekali lagi mereka berada di depan televisyen untuk menonton rancangan animasi lain pula.

Masuk sekolah pada Isnin, cerita-cerita itulah akan dikongsikan kepada rakan-rakan di sekolah. Bagi mereka yang terlepas menonton, pasti termangu mendengar perbualan rakan-rakan.

Begitulah hebatnya penangan animasi (dulu dipanggil kartun) kepada kanak-kanak pada waktu itu.

Banyak animasi luar negara ditayangkan di Malaysia namun animasi tempatan tetap menjadi pujaan dan diingati sehingga kini.

Mari kita imbau kembali kenangan “duduk depan TV tengok kartun” kanak-kanak dulu yang sekarang mungkin ramai sudah menjadi ibu dan bapa.


1. Anak-Anak Sidek

Antara animasi paling popular, berkisahkan kehidupan keluarga legenda badminton negara, keluarga Sidek yang berjaya menghasilkan jaguh dunia dan menggegarkan arena badminton negara.

Asalnya, ia merupakan sebuah komik sebelum dianimasikan dan ternyata usaha itu membuahkan hasil, sehingga ke hari ini orang masih bercakap mengenainya.

Nama Bun (Misbun), Ajib (Razif), Alan (Jailani), Aman (Rahman) dan Adul (Rashid) pastinya akan terus diingati terutamanya keletah Bun yang sering kali mencari helah untuk ponteng latihan.

Anak-Anak Sidek

Apabila siri animasi ini popular pada waktu itu, ramai rakyat Malaysia aktif bermain badminton dan tidak kurang juga bercita-cita mahu menjadi pemain kebangsaan satu hari nanti.

Rindunya nak lihat keletah Bun dan Ajib yang selalu menjengkelkan penonton dengan kerenah mereka!


2. Usop Sontorian

Siri animasi pertama negara yang ditayangkan pada tahun 1994 ini memaparkan kisah anak-anak di kampung, pelbagai bangsa yang benar-benar menyerlahkan perpaduan di Malaysia.

Usop, Dol, Abu, Singh, Ah Kim dan Vellu merupakan watak utama dan Usop juga memelihara seekor ayam jantan yang diberikan nama Selebet.

Usop Sontorian

Animasi itu sangat popular dalam kalangan kanak-kanak pada tahun 1990an dan lagu temanya pastinya dirindui mereka yang dulunya kanak-kanak dan kini ramai daripadanya sudahpun bergelar bapa.


3. Kampung Boy

Kartun ini hasil rekaan kartunis terkemuka, Datuk Lat, mengisahkan kehidupan seorang budak kampung bernama Mat yang membesar di Perak sekitar tahun 1950an.

Menariknya, ia merupakan kisah Lat sendiri atau namanya Mohamad Nor Khalid, ketika kecil dan animasi tersebut sangat popular dan turut ditayangkan di luar negara.

Kampung Boy

Sehingga kini, Lat masih aktif melukis dan menghasilkan banyak komik, kebanyakannya berkisarkan realiti kehidupan di Malaysia.

Karyanya bukan sahaja diiktiraf di dalam negara malah negara luar turut menghargai dan mengagumi lukisan anak jati Perak itu.


4. Keluang Man

“Dia, bagai seorang pahlawan, menjadi pembela pada yang kurang upaya…”

Pastinya ramai mengingati lagu tema animasi Keluang Man nyanyian Krisya yang begitu popular dan menjadi siulan ramai pada waktu tersebut.

Kalau negara luar berbangga dengan adiwira mereka seperti Spiderman atau Batman, Malaysia juga boleh berbangga dengan Keluang Man, superhero terawal Malaysia yang menjadi bualan satu ketika dulu.

Watak Keluang Man ialah orang gila di Hospital Tampoi dan ketika membanteras jenayah, lelaki itu akan dibantu rakannya iaitu Tiung Man.

Mereka hanya keluar pada waktu malam dengan meloloskan diri dari hospital untuk membantu menumpaskan jenayah di kawasan berhampiran.

Keluang Man


5. A.L.O.N.G

Bukanlah rancangan animasi namun ALONG yang mengetengahkan konsep pembelajaran dalam setiap episodnya sangat sinonim dengan kanak-kanak pada tahun 1990an.

ALONG

Watak paling popular sudah semestinya maskot kucing bernama Along selain watak adik-adiknya, Angah dan Acik.

Antara segmen paling diingati ialah Siti Sifir yang mengajar kanak-kanak menghafal sifir dengan cara menarik, sambil menyanyi.

Pelakon berbakat besar, Beto Kusyairy pernah menjadi antara wajah sebenar di sebalik watak ALONG.


6. Di mana Joe Jambul

Rancangan berbentuk kuiz ini memang berada di tahap yang berbeza, sungguh popular pada waktu itu dengan konsepnya yang agak berbeza daripada rancangan lain.

Dalam rancangan ini, peserta perlu melalui beberapa segmen untuk memastikan Joe Jambul dan konconya ditangkap.

Joe Jambul dibantu beberapa rakan penjahatnya terdiri daripada saintis, pakar bom, pakar komputer dan orang kuat.

Joe Jambul

Pengacara rancangan yang menguji pengetahuan am dan geografi kanak-kanak itu ialah Norzizi Zulkifli.


7. Silat Lagenda

Mendapat inspirasi daripada kisah lima pahlawan Melaka, Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu, Silat Lagenda pernah menggegarkan negara suatu masa dahulu.

Kisahnya berkisarkan lima anak muda pada zaman moden yang mendapat lima senjata daripada pahlawan tersohor Melaka itu dan mendapat kuasa istimewa.

Silat Lagenda merupakan filem animasi tempatan yang pertama dan filem berharga RM6 juta itu telah diarahkan oleh Hassan Mutalib

Filem ini mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan dan ditayangkan kepada umum pada 27 Ogos 1998 dan antara pelakon yang menggunakan suara latar mereka untuk filem ini ialah pelakon Noorkumalasari.

Filem animasi ini juga mempunyai muzik latar yang telah dinyanyikan oleh artis-artis tempatan seperti KRU, Ella, Elite dan Zainal Abidin.

Silat Lagenda


8. Hikayat Sang Kancil

Animasi ini adalah animasi pendek yang pertama di Malaysia yang mula ditayangkan pada tahun 1980an.

Ia merupakan animasi berbentuk pengajaran yang dihasilkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang kerap kali ditayangkan di televisyen.

Mungkin tidak sepopular yang lain namun pastinya kanak-kanak pada tahun tersebut pernah melihat kartun itu dan masih ingat pengajaran disampaikan dalam animasi pendek itu.

Hikayat Sang Kancil