Kata Nazim, dia bergelut melawan tekanan ketika berusia 13 hingga 15 tahun dan terpaksa berjumpa dengan kaunselor sekolah untuk mendapatkan bimbingan.
"Saya masih ingat kenangan keluar masuk bilik kaunseling sekolah antara umur 13 hingga 15 tahun.
"Saya terlalu muda untuk melawan depresi bersendirian. Perkara sudah berlaku dan tidak perlu untuk saya kongsikan secara lanjut.
"Namun, seperkara yang perlu anda tahu, saya pernah mengalaminya dan mencuba sedaya-upaya untuk memujuk diri untuk bangkit.
"Ia menyedihkan dan saya percaya individu yang berjuang menentang depresi pernah suatu ketika rasa mahu membunuh diri," tulis Nazim.
BACA: Vokalis utama SHINee, Jonghyun, meninggal dunia pada usia 27 tahun
BACA: "Menjadi popular bukan kehidupanku" - Jonghyun
Bagaimanapun, Nazim berjaya melawan tekanan itu dan menasihati orang awam untuk segera mendapatkan khidmat nasihat daripada individu bertauliah secepat mungkin sekiranya berdepan dengan masalah depresi.
"Saya bersyukur kerana saya berjaya melawan depresi dan ia bukan satu hukuman mati.
"Jika anda rasa terlalu lemah daripada segi emosi dan rohani, segeralah mendapatkan nasihat daripada individu yang tepat," katanya yang menyarankan untuk mendapatkan nasihat daripada Befrienders Malaysia.
Selain Nazim, penyanyi muda yang juga bintang utama filem Busker, Daiyan Trisha juga pernah mendedahkan pengalaman berdepan masalah depresi hingga hampir meragut nyawanya.
Dunia baru-baru ini dikejutkan dengan berita kematian penyanyi utama kumpulan SHINee, Jonghyun yang disyaki membunuh diri kerana depresi.
Teks oleh: Amri Hassan
Sumber: IG @nazimothman