Ringkasan AI
- Algoritma media sosial membolehkan hantaran negatif menjadi lebih tular dan popular. Pengguna kadang-kadang sengaja mengunggah hantaran kebencian untuk meraih populariti, tanpa mempedulikan fakta.
- Contohnya, fenomena peningkatan 300 peratus kebencian terhadap etnik Rohingya semasa pandemik COVID-19 menunjukkan elemen kebencian yang dipopularkan melalui media sosial.
- Meskipun penting untuk mengambil tindakan terhadap hantaran berunsur kebencian, perlu juga menghormati hak kebebasan bersuara rakyat namun pada masa sama tidak melampaui batas perundangan.
Demikian pandangan disuarakan pengarah rakan kongsi badan bukan kerajaan KRYSS Network, Nabila Nasir Myers, dalam program Dialog Tiga Penjuru di Astro AWANI pada Khamis.
Katanya, algoritma platform terbabit dilihat membolehkan pengguna yang terlibat dalam hantaran negatif sedemikian menjadi lebih tular dan popular.
“Kita ada data anekdot yang menunjukkan ramai yang suka melepaskan marah di media sosial.
"Tetapi di bahagian yang lain, algoritma media sosial juga suka dengan hantaran-hantaran (yang boleh mencetuskan kemarahan) kerana ia popular.
“Ini dipanggil pengkomersialan kebencian. Ada juga dalam kalangan pengguna yang menunggang hantaran bersifat kebencian untuk mencari pempengaruh media sosial.
“Mereka tahu bahan perbualan atau hantaran negatif yang membangkitkan rasa marah dan menghina, akan menjadikan mereka tular dan popular.
"Sedangkan mereka tidak tahu fakta, tetapi mereka tetap mahu terlibat sama semata-mata untuk meraih populariti,” kata Nabila.
Ada nilai komersial, platform media sosial utamakan hantaran berunsur kebencian – KRYSS Network
Menurutnya, contoh sebenar lain yang menggambarkan elemen kebencian yang dipopularkan melalui media sosial ialah fenomena peningkatan 300 peratus kebencian terhadap etnik Rohingya semasa tempoh pandemik COVID-19 yang lalu.
Meskipun beliau menggesa kerajaan mengambil tindakan sewajarnya, pada masa sama Nabila turut menyatakan keperluan kerajaan tidak melampaui batas hak kebebasan bersuara bagi orang awam.
“Saya bersetuju tidak wajar memberi keutamaan kepada aspek perundangan semata-mata, memandangkan undang-undang boleh digunakan untuk mengekang hak rakyat Malaysia untuk bebas bersuara,” tambahnya.
Pada 5 Julai lalu, media melaporkan seorang pempengaruh media sosial maut akibat bunuh diri selepas mengalami buli siber.
Insiden tersebut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang memaklumkan, isu buli siber akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat.
Dialog Tiga Penjuru: Buli Siber, Semakin Melampau