KUALA LUMPUR: Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) sedang membangunkan Garis Panduan Pelaporan dan Perkongsian Kandungan Berkaitan Bunuh Diri Secara Beretika.

Kementerian Komunikasi menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat di laman sesawang Parlimen memaklumkan, usaha itu dilakukan dengan kerjasama pemain industri, pejuang kesihatan mental, pengamal perubatan dan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Negara (NCEMH).

Garis panduan berkenaan antara lain bertujuan menggalakkan amalan kandungan bertanggungjawab yang seimbang antara hak masyarakat untuk mengetahui maklumat dan keperluan mengelakkan mudarat.

CMCF juga memaklumkan bahawa mereka menjalankan kerjasama erat dengan penyedia perkhidmatan seperti Meta dalam menjalankan program Creators IRL, bertujuan melengkapkan pencipta kandungan dengan pengetahuan, alat dan pengalaman bagi menangani ancaman dalam talian dan menghasilkan kandungan selamat dan bermanfaat.

"Perkongsian kandungan berkaitan bunuh diri secara bertanggungjawab dan kepentingan kesihatan mental dalam mengharungi dunia dalam talian turut menjadi sebahagian daripada modul CMCF untuk program itu," menurut jawapan bertulis itu.

Ia bagi menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong) mengenai rancangan kementerian untuk turut bekerjasama dalam inisiatif tiga syarikat media sosial terbesar iaitu Meta, Snap dan Tiktok bersama The Mental Health Coalition dalam membentuk satu inisiatif dipanggil Thrive bagi membendung kandungan bunuh diri dan berkaitan kesihatan mental.

Kementerian Komunikasi turut memaklumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedia memberikan kerjasama serta sokongan penuh terhadap usaha pelbagai pihak termasuk Thrive bagi membendung kandungan bunuh diri dan berkaitan kesihatan mental.

Sementara itu, Kementerian Komunikasi memaklumkan draf Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia (MMM), telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk semakan terakhir sebelum Memorandum Jemaah Menteri mengenai RUU berkenaan disediakan.

"RUU ini dijangka dibentangkan dalam mesyuarat Parlimen kali ini, tertakluk kepada kelulusan Jemaah Menteri," menurut kementerian itu bagi menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai status terkini penubuhan Majlis Media Malaysia.

Penubuhan sebuah organisasi kawal selia kendiri bagi media dan pengamalnya pada masa kini, penting dalam mendukung standard kewartawanan, menaikkan tahap profesionalisme dan menyediakan ruang untuk aduan awam terhadap media.

-- BERNAMA