LANSING: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden menggariskan pelan kerajaan persekutuan untuk membantu Michigan dalam pengurusan bekalan vaksin COVID-19.

Namun usaha tersebut tidak merangkumi pemberian lebih banyak bekalan vaksin.

Menurut penyelaras tindak balas COVID-19 White House, Jeffrey Zients, ini adalah sebagai tindakan adil dalam memastikan negara itu dapat mengedarkan vaksin secara sama rata.

Langkah itu akan diteruskan bagi memastikan populasi dewasa di negara itu diberikan imunisasi.

Justeru langkah terbaharu termasuk menyediakan alat-alatan ubatan tambahan dilihat sebagai usaha untuk mengawal penularan COVID-19 di negeri itu.

Ini termasuk tambahan anggota petugas kesihatan dari pusat penyakit berjangkit (CDC) dan angkatan tentera dalam mengendalikan pemberian suntikan vaksin di pusat vaksinasi.

Antara lain adalah menambah alat ujian saringan COVID-19 termasuk di sekolah-sekolah.