WASHINGTON : Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengeluarkan kenyataan ringkas memuji Kamala Harris selepas Naib Presidennya itu menyampaikan ucapan susulan kekalahannya dalam Pilihan Raya Presiden.

"Apa yang dilihat oleh Amerika hari ini adalah Kamala Harris yang saya kenali dan sangat kagumi. Beliau adalah rakan dan penjawat awam yang luar biasa, penuh integriti, keberanian dan ketabahan," kata Biden.

Biden - yang membuat keputusan menarik diri daripada pilihan raya itu pada Julai telah membuka jalan untuk Harris mengambil pencalonan Parti Demokrat - berkata, Harris "telah tampil dan memimpin kempen bersejarah" menuju White House.

"Kisah hidupnya mencerminkan yang terbaik dari kisah Amerika. Dan seperti yang dinyatakannya hari ini, saya yakin bahawa beliau akan terus menulis kisah itu," tambah Biden lagi.

"Beliau akan terus berjuang dengan tujuan, ketabahan, dan kegembiraan. Beliau akan terus menjadi juara untuk semua rakyat Amerika.

"Yang paling penting, beliau akan terus menjadi pemimpin yang akan dicontohi oleh anak-anak kita selama beberapa generasi mendatang ketika beliau meletakkan tanda pada masa depan Amerika," tambah Presiden AS ke-46 itu lagi. - Agensi