Orang ramai di luar Pusat Islam Washington, D.C. memaklumkan mereka kecewa dan tidak berpuas hati dengan pilihan calon presiden yang ada manakala beberapa pengundi muda berkata mereka cenderung memilih calon bebas.
Omar Al Mukhtar, seorang Muslim AS, yang pertama kali mengundi, mengkritik pentadbiran presiden AS, Joe Biden kerana disifatkan bertanggungjawab terhadap krisis di Timur Tengah dan Gaza dan menyatakan beliau tidak akan menyokong Parti Demokrat.
"Orang AS telah berada dalam 'sesak' sejak beberapa dekad dan mereka terus berfikir bahawa Demokrat akan menyelamatkan mereka. Kami didesak untuk mengundi Biden pada 2020 dan lihat apa yang dia lakukan.
"Dia yang melakukan pembunuhan beramai-ramai. Jadi, untuk rekod, pembunuhan beramai-ramai Gaza akan tercatat dalam sejarah sebagai di bawah kepimpinan Demokrat dan bukan kepimpinan Republikan. Oleh itu, kami memberitahu setiap Muslim dan Arab dan mana-mana orang yang mengundi untuk bangun kerana ini adalah satu beban dan omong kosong," katanya.
Dalam pada itu, beberapa pengundi Arab AS dan Islam yang marah dengan sokongan AS terhadap serangan Israel di Gaza sedang menjauhi calon Demokrat, Kamala Harris untuk menyokong calon pihak ketiga, Jill Stein, dengan jumlah yang mungkin menghalang Harris meraih kemenangan di negeri-negeri yang penting pada Selasa.
Tinjauan dilakukan kumpulan advokasi Majlis Hubungan AS-Islam pada akhir Ogos menunjukkan di Michigan yang mempunyai majoriti komuniti Arab AS , 40 peratus pengundi Muslim menyokong Stein dari Parti Hijau manakala calon Republikan, Donald Trump, mendapat 18 peratus dan Harris, Naib Presiden Biden, hanya mendapat 12 peratus.