KULIM: Penggunaan kenderaan elektrik (EV) perlu dilihat sebagai langkah penting dalam usaha peralihan hijau Malaysia selain mengurangkan kebergantungan negara terhadap bahan api petrol, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong.

Pada masa sama, Malaysia juga perlu menumpukan penggunaan petrol yang melangkaui paras semasa, sekali gus menekankan matlamat besar elektrifikasi sektor automotif untuk mengurangkan penggunaan bahan api itu dan membolehkan kemunculan semula Malaysia sebagai pengeksport bersih petroleum.

"Wujud keperluan mendesak untuk memastikan EV dapat memenuhi jalan raya Malaysia bagi menangani pelbagai cabaran yang kita hadapi seperti mengurangkan beban fiskal membabitkan subsidi petrol dan meletakkan semula Malaysia sebagai pengeksport bersih petroleum dan pembangunan negara yang mesra iklim.

"Bagi mencapai keterjaminan tenaga, kita juga perlu membolehkan Malaysia menjadi pengeksport bersih petroleum. Pada 2022 misalnya, Malaysia mengimport petroleum mentah bernilai US$12.2 bilion," katanya pada majlis pelancaran OMODA E5 Chery Malaysia yang juga kenderaan pemasangan tempatan (CKD) pertama jenama itu, di sini, pada Jumaat.

Liew berkata, pada 2022 dan 2023, jumlah subsidi bahan api negara (RON95, diesel dan gas asli cecair) berjumlah kira-kira RM50 bilion atau kira-kira satu perlapan daripada belanjawan negara.

Setakat 30 Sept, 2024, terdapat sejumlah 32,543 kenderaan elektrik bateri (BEV) berdaftar di jalan raya Malaysia dengan 98 peratus daripadanya diimport secara unit pasang siap (CBU).

Bagaimanapun, katanya, penggunaan EV di Malaysia berbanding negara jiran dengan BEV hanya mewakili 1.2 peratus daripada jumlah jualan kenderaan pada 2023 berbanding 12 peratus kenderaan itu di Thailand, Vietnam (15 peratus) dan Singapura (18 peratus).

Pada 2023, Malaysia menjual sejumlah 799,731 unit kereta dengan hanya 1.2 peratus merupakan BEV (10,159 unit) manakala Indonesia mencatat 1.2 peratus jualan EV pada 2023.

"Angka 1.2 peratus pada 2023 dan jumlah jualan keseluruhan industri kenderaan (TIV) sebanyak 2.6 peratus bagi separuh pertama 2024 menunjukkan Malaysia agak ketinggalan daripada sasaran 20 peratus bagi 2030.

"Jika kita dapat bertindak secara bersama, Malaysia boleh menyaksikan pertumbuhan EV yang luar biasa di jalan raya kita dalam tempoh lima tahun seterusnya, mencapai sasaran EV menyumbang 20 peratus daripada TIV pada 2030," katanya.

Sementara itu, Presiden Chery Auto Malaysia, Leo Chen berkata, pelancaran unit CKD OMODA E5 itu memaparkan komitmen syarikat dalam meningkatkan kemampuan pembuatan tempatan, menyumbang kepada pertumbuhan industri Malaysia dan peralihan negara ke arah masa depan automotif yang mampan dan berteraskan elektrifikasi.

"Langkah pemasangan kenderaan di peringkat tempatan tidak hanya menggalakkan penetapan harga yang lebih berdaya saing, tetapi turut mencerminkan komitmen jangka panjang di Malaysia dan memupuk pembangunan kemahiran dalam tenaga kerja tempatan," katanya.

Chen berkata, usaha itu juga sejajar dengan dasar kerajaan untuk menyetempatkan pematuhan selain menyokong hasrat Malaysia menjadi hab EV serantau. - BERNAMA