Kenyataan dibuat selepas tentera Amerika Syarikat (AS) menggagalkan serangan peluru berpandu Iran ke atas Israel.
Biden kini dalam rundingan dengan pemimpin tertingginya mengenai tindak balas sesuai dilaksanakan ke atas Tehran.
"Amerika Syarikat menyokong penuh Israel. Saya baru sahaja menghabiskan pagi dan sebahagian daripada petang di bilik situasi, bertemu dengan seluruh pasukan keselamatan negara saya dan berunding terus dengan pihak Israel, kerana kesannya terhadap kita.
"Pasukan keselamatan negara saya sentiasa berhubung dengan pegawai Israel, dengan rakan sejawat mereka," katanya.
Israel sebelum ini mendakwa berjaya memintas sebahagian besar peluru berpandu dilancarkan Iran, sementara tentera AS memaklumkan kapal pemusnah turut membantu Israel.
Biden juga dilaporkan mengarahkan tenteranya menghantar semua sumber ke rantau itu.
Sementara itu AS menyeru semua negara mengecam serangan Iran ke atas Israel.
Ini selepas republik itu melancarkan serangan peluru balistik bertubi-tubi ke atas rejim Tel Aviv.
Washington menyifatkan serangan itu sebagai tidak boleh diterima.
Menurut jurucakap Jabatan Negara, Matthew Miller, setakat ini tiada sebarang maklumat diperoleh mengenai kerosakan fasiliti AS dalam serangan itu.
Miller juga mengesahkan tiada sebarang amaran dikeluarkan Iran sebelum melancarkan serangan tersebut.