"Kami boleh memanjangkannya dengan mengurangkan jumlah yang diberikan kepada orang ramai," kata Sam Rose dari UNRWA dalam taklimat di Geneva. "Tetapi kini kita bercakap mengenai hari, bukan minggu."
Rose menegaskan bahawa ini adalah "tempoh paling lama" tanpa sebarang bekalan memasuki Gaza sejak Oktober 2023.
Beliau menyifatkan keadaan di Gaza sebagai "sangat membimbangkan" ketika wilayah terkepung itu mengalami malam keempat pengeboman sejak gencatan senjata dicabuli pada Isnin malam, yang telah mengorbankan lebih 700 rakyat Palestin, termasuk 200 wanita dan kanak-kanak.
UNRWA juga menganggarkan sekitar 70,000 orang sedang berpindah, sementara ramai lagi terkesan oleh arahan pemindahan terbaru Israel.
Sejak Oktober 2023, hampir 50,000 rakyat Palestin terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, manakala lebih 112,000 lagi cedera dalam serangan ketenteraan Israel ke atas Gaza.
Pada November lepas, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung peperangannya ke atas wilayah itu.
-- BERNAMA
