Ia selepas Biden mengumumkan untuk menarik diri daripada bertanding dalam Pilihan Raya Presiden kali ini dan memberi laluan kepada Naib Presiden, Kamala Harris, bagi menggantikannya.
Penampilan terakhir Biden dijangka sarat dengan penghujahan yang menyentuh kepada peningkatan ketegangan konflik yang berlaku di Asia Barat selain konflik antara Rusia dan Ukraine.
Di saat dunia masih menyaksikan kekejaman berterusan rejim Zionis di Palestin, satu lagi konflik di Asia Barat yang berlaku di selatan Lubnan ketika ini menambah keresahan global.
Sehingga Isnin, angka korban akibat serangan udara Israel di kawasan tersebut menghampiri angka 500 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak.
Malah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) memberi amaran bahawa kesan yang lebih dahsyat dijangka akan berlaku di rantau itu sekiranya Israel tekad meningkatkan serangan mereka di selatan Lubnan.
Memetik laporan The Guardian, peningkatan konflik di Asia Barat dilihat agak ironik - tatkala pemimpin dunia berkumpul di kota metropolitan New York mempromosi dan membincangkan agenda keamanan dan reformasi multilateral, media pula membawakan laporan langsung dan perkembangan terkini mengenai peningkatan ketegangan di selatan Lubnan.
Laporan sama juga menyebut bahawa Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati menyifatkan keganasan berterusan Israel ke atas Lubnan merupakan satu bentuk rancangan ke arah memusnahkan perkampungan dan bandar di negara itu.
Untuk itu, Najib menyeru PBB dan negara-negara berpengaruh untuk memberi tekanan kepada Israel supaya menghentikan tindakan keganasan ini.
Jadi apakah fokus utama, cadangan dan solusi terhadap kesemua konflik ini yang mampu ditawarkan oleh Biden di pentas UNGA sempena penampilan terakhirnya ini?
Mengenai isu Palestin pula, ketika ini rundingan perjanjian gencatan senjata bagi mengakhiri konflik di Palestin juga masih tidak membuahkan sebarang hasil dan angka kematian juga menghampiri 42,000 orang.
Sebelum ini, rangka kerja asal yang dibentangkan Presiden Amerika Syarikat ke-46 ini dijangka akan mampu mengakhiri konflik di Palestin dengan tiga negara melibatkan Qatar, Mesir dan Turkiye bertindak sebagai pengantara bagi merealisasikan perjanjian ini.
Namun selepas berbulan lamanya, rundingan demi rundingan berlangsung dan masih tiada kata putus walaupun usia konflik ini memasuki tempoh satu tahun pada 7 Oktober depan.
Justeru, apa yang boleh dunia nantikan dalam setiap kupasan dan kata-kata yang melewati ucapan Biden esok?
Ini kerana Washington secara konsisten terus menyatakan sokongan mereka kepada rejim pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu malah terus membekalkan dana untuk membolehkan rejim ini meneruskan agenda pembunuhan beramai-ramai mereka.
Dua konflik ini akan terus menjadi fokus dunia dan apakah akan wujud kritikan dan desakan daripada pemimpin dunia lain di pentas UNGA sempena sesi debat terbuka yang akan melabuhkan tiranya pada 30 September depan?
Penting juga untuk disaksikan menerusi hari pertama High Level Week UNGA ke-79 ini, penampilan pertama Presiden Iran, Masoud Pezeshkian yang turut akan menyampaikan ucapannya dalam sesi debat umum di sebelah petang, esok.
Tehran yang menyatakan sokongan kepada Hamas dan Hizbullah juga mengutuk serangan terbaharu Zionis di Selatan Lubnan.
Beberapa jam yang lepas, Jurucakap Kementerian Luar Iran, Nasser Kanaani, turut memberi amaran kepada rejim itu mengenai akibat yang akan ditanggung susulan serangan dilakukan.
Nasser dalam kenyataan lain menerusi satu hantaran di X, turut berkata, perbuatan bersekongkol adalah sama buruknya dengan kekejaman itu sendiri.
Justeru tegasnya, sistem yang diamalkan PBB perlu bertindak mengawal ancaman kepada keamanan dunia sebelum segalanya terlambat.
Beliau turut menuntut negara-negara yang menyokong kemananan dan keselamatan antarabangsa untuk memanfaatkan UNGA kali ini untuk mengambil langkah lebih tegas ke atas Israel.
Untuk itu juga, pastinya ucapan sulung Pezeshkian wajar diperhatikan; apakah Presiden berusia 69 tahun ini akan secara lantang mengutuk keganasan yang dicetuskan Zionis dan bagaimana dunia memberi maklum balas terhadap ucapannya.
Memetik laporan Iran Metropolises News Agency (IMNA) berkata, penganalisis politik yang berpusat di Tehran, Hassan Hani Zadeh, menjangkakan bahawa Pezeshkian mungkin akan menumpukan kepada peranan PBB dalam memastikan keamanan, kestabilan dan keselmatan global, terutama di Asia Barat, melihat kepada keganasan berterusan di Gaza dan Lebanon.
Ucapannya juga dijangka akan menyentuh kepada tindakan Israel yang dilihat sebagai satu cabaran yang kritikal terhadap keamanan dan keselamatan global.
Apa pun, sama-sama kita saksikan sesi debat umum pertama yang bakal berlangsung esok sempana UNGA ke-79 ini.