Menurut Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Datuk Ahmad Faisal Muhamad, kenyataan itu antara lain akan memfokuskan kepada isu semasa yang melatari geopolitik dunia ketika ini.
Kenyataan sama, menurutnya, akan menegaskan komitmen Malaysia terhadap multilateralisme, keamanan dan kerjasama antarabangsa di tengah cabaran global.
“Tema ini selaras dengan komitmen jangka panjang Malaysia untuk memperjuangkan prinsip berasaskan undang-undang antarabangsa dan hak-hak negara negara kecil dalam rangka kerja PBB.
“Datuk Seri Mohamad Hasan juga akan bercakap mengenai keberkesanan atau ketidakberkesanan sistem multilateralisme dalam isu-isu besar seperti konflik di Palestin, isu kemanusiaan di Myanmar dan mungkin isu melibatkan perubahan iklim,” katanya.
Ahmad Faisal berkata demikian dalam sidang media bersama delegasi wartawan Malaysia di sini, pada Jumaat.
Selain itu, Mohamad juga akan mengambil bahagian dalam beberapa mesyuarat peringkat tertinggi, termasuk Sidang Kemuncak Masa Depan UNGA pada 22 dan 23 September, yang bertujuan bagi menguatkan kerjasama antarabangsa dalam isu-isu kritikal seperti kemiskinan, keselamatan global dan perubahan iklim.
Semasa sidang ini, Malaysia dijangka menyumbang kepada perbincangan tentang cara dan kaedah bagaimana dunia boleh menggerakkan usaha mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) menjelang 2030.
Antara lain, Mohamad juga dijadual terlibat dalam pelbagai mesyuarat multilateral, termasuk mesyuarat ASEAN-Pakatan Pasifik (PA) dan Mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Ekonomi ASEAN (ECO), di mana peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN pada tahun hadapan dijangka ditekankan.
Isu-isu antarabangsa utama seperti peningkatan paras laut, pelucutan senjata nuklear dan rintangan antimikrob juga akan menjadi fokus utama dalam penglibatan Malaysia semasa High Level Week yang bermula 24 hingga 30 September ini.
Mohamad juga akan menghadiri mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang akan memfokuskan kepada isu etnik Rohingya dan Palestin yang selanjutnya mengukuhkan advokasi kuat Malaysia untuk isu kemanusiaan di kawasan terlibat.
Pada masa sama, Ahmad Faisal berkata Mohamad akan turut menghadiri beberapa pertemuan dua hala bersama Setiausaha Agung PBB, Antonio Gutteres dan Ketua Pesuruhjaya Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini.