PUTRAJAYA: Kenyataan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-79 di New York semalam jelas menggambarkan ketegasan dan ketekalan Malaysia terhadap pelbagai isu sejagat, termasuk keadilan buat Palestin, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, kenyataan seumpama itu adalah penting sebagai memanfaatkan peluang bagi menyuarakan pandangan serta pendirian Malaysia di pentas antarabangsa terhadap pelbagai isu berbangkit yang perlu diberikan perhatian.

"Kenyataan Tok Mad (Mohamad) ini mewakili seluruh isi kenyataan kerajaan. Ya - ini adalah pendirian kita (Malaysia).

"Kita tahu isu antarabangsa ini sangat dinamik, tapi yang paling penting adalah ketegasan dan konsistensi kita dalam memanfaatkan forum di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seperti yang disampaikan Tok Mad," katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini, hari ini.

Pada perhimpunan UNGA itu, Malaysia secara lantang telah menyuarakan pendirian tegas berhubung beberapa perkara seperti kuasa veto, Islamofobia dan Palestin.

Malaysia turut membuat rayuan untuk pelaksanaan penuh Resolusi ES-10/24, bagi menggesa Majlis Keselamatan PBB (UNSC) bertindak tegas bagi menghentikan aktiviti penempatan haram Israel di Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT) demi keadilan bagi rakyat Palestin.

Sementara itu, Saifuddin berharap perbahasan mengenai pindaan Perlembagaan berkaitan kewarganegaraan diberikan keutamaan pada sidang Dewan Rakyat yang akan bermula pada 14 Okt ini.

Beliau berkata, ia bagi membolehkan cadangan pindaan itu diteruskan, untuk mendapatkan sokongan daripada semua ahli Parlimen.

"Pada sesi Dewan Rakyat yang lepas, saya sudah selesai bacaan kali kedua, tapi sidang Dewan Rakyat ditangguhkan untuk agenda mesyuarat yang lain. Kita harap dalam sidang akan datang ini, kita dapat tempat dalam agenda urusan mesyuarat. Ini keutamaan KDN," katanya.

Pada 27 Mac lepas, Saifuddin berkata, Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 merupakan bukti komitmen kerajaan untuk menangani isu berkaitan pemberian taraf kewarganegaraan dengan cermat, dan beliau menyifatkan sudah tiba masanya setiap kes permohonan kewarganegaraan yang lama tertunggak diselesaikan dengan kadar segera. - BERNAMA