Ringkasan AI
- Malaysia komited untuk mempengerusikan ASEAN pada 2025 dan mengukuhkan peranan ASEAN dalam rantau Asia Pasifik.
- Fokus Malaysia ialah memperkuatkan sentraliti ASEAN, mengelak konflik geopolitik, serta mempromosikan keamanan di Laut China Selatan.
- Malaysia akan bekerjasama dengan negara ASEAN dalam menangani isu Myanmar dan memupuk kerjasama serta dialog global.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan turut menekankan komitmen Malaysia untuk mengemudi ASEAN ke arah kesediaan mendepani masa depan.
Pada masa sama, Mohamad menyatakan bahawa tumpuan akan diberikan terhadap memperkukuhkan aspirasi global, dasar yang dipacu rakyat dan berorientasikan mekanisme masa depan.
“Malaysia bersedia untuk memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada tahun 2025.
‘’Kami menyedari kepentingan menguatkan kembali ASEAN sebagai pemimpin di rantau Asia Pasifik,’’ katanya.
Mohamad berkata demikian ketika menyampaikan Kenyataan Negara ketika perbahasan umum di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-79, di sini, pada Sabtu.
Selain itu, Mohamad menekankan keperluan untuk melindungi sentraliti blok ini di rantau tersebut selain memastikan Asia Tenggara tidak terperangkap dalam persaingan atau konflik yang tidak perlu.
Ini dalam mendepani persaingan kuasa besar yang semakin meningkat dan perubahan geopolitik dunia.
‘’Kami akan berusaha untuk mengukuhkan sentraliti ASEAN di tengah kemunculan pakatan multilateral yang mempengaruhi kawasan.
‘’Ini merupakan langkah penting bagi mengelakkan blok ini terperangkap dalam persaingan geopolitik yang tidak perlu atau berdepan kemungkinan peningkatan konflik," katanya.
Selain itu, Mohamad juga menegaskan bahawa peranan ASEAN dalam menguruskan ketegangan di Laut China Selatan akan menjadi keutamaan di bawah kepimpinan Malaysia.
Untuk itu, beliau menyeru semua negara untuk mematuhi Konvensyen PBB mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982 dalam tadbir urus maritim dan menekankan diplomasi dan dialog sebagai alternatif utama dalam mengelakkan peningkatan konflik.
‘’Perairan ini, yang kaya dengan sumber dan mempunyai laluan pelayaran penting telah menjadi titik panas ketegangan geopolitik yang semakin meningkat.
‘’Kita mesti bersama-sama mengejar visi Laut China Selatan sebagai zon keamanan, kestabilan, dan kerjasama.
‘’Kita mesti mengutamakan kewujudan secara damai,’’ tambahnya.
Pentas sama juga digunakan Malaysia dalam mengulangi komitmennya untuk bekerjasama dengan negara anggota ASEAN dalam memberikan bantuan kemanusiaan dan mematuhi Konsensus Lima Perkara (5PCs) bagi mencari penyelesaian terhadap konflik yang sedang berlangsung di Myanmar ketika ini.
Beliau juga menekankan bahawa kepelbagaian ASEAN merupakan satu kekuatan bagi membolehkan blok ini terus mampu mengukuhkan kerjasama seterusnya memupuk dialog dengan rakan di peringkat global.
Mohamad pada masa juga mengulangi komitmen Malaysia untuk terus berusaha merealisasikan keinginan bersama dan kehendak kolektif untuk hidup dalam kawasan yang damai, selamat, dan stabil; pertumbuhan ekonomi yang berterusan; kemajuan sosial; dan kemakmuran bersama.