CALON pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memaklumkan, Presiden China Xi Jinping menghantar nota kepada beliau selepas insiden tembakan ketika berkempen minggu lepas.

Bercakap di Grand Rapids, Michigan, pada Sabtu, Trump berkata, Xi mengirimkan "nota yang indah" beberapa hari lalu selepas mendengar mengenai kejadian tembakan itu.

Ini juga merupakan ucapan pertama Trump dalam perhimpunan kempen sejak insiden menggemparkan seluruh AS pada 13 Julai lalu. 

Trump yang juga bekas presiden AS menyifatkan beliau memiliki hubungan sangat baik dengan Xi.

Pemimpin Republikan itu turut menyebut beliau juga menerima mesej dari pemimpin dunia lain selepas insiden tembakan di Pennsylvania itu.

Trump pada Khamis menerima penamaan sebagai calon Parti Republikan dalam pilihan raya presiden dijadual 5 November depan. - Agensi