PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden berkata keputusan ke atas Donald Trump yang didapati bersalah dalam perbicaraan memalsukan rekod perniagaan membuktikan tiada siapa boleh mengatasi undang-undang.

Beliau menyifatkan tindakan orang ramai yang mempersoalkan kesahihan keputusan juri dan sistem keadilan jenayah AS sebagai melulu dan bahaya.

Komen dari White House itu merupakan kenyataan awam pertama Biden mengenai keputusan itu selepas juri mendapati Trump bersalah dalam setiap 34 pertuduhan memalsukan rekod perniagaan untuk menyembunyikan bayaran yang bertujuan menutup mulut Stormy Daniels menjelang pemilihan presiden pada 2016.

"Prinsip Amerika yang menyatakan tidak ada seorang pun boleh atasi undang-undang telah diperkuatkan semula. Beliau (Trump) diberi setiap peluang untuk mempertahankan diri. Ini adalah kes negeri, bukan kes persekutuan.

"Ia didengar oleh juri 12 warga Amerika, seperti anda, seperti jutaan rakyat Amerika yang pernah berkhidmat dalam juri. Juri ini dipilih dengan cara yang sama seperti setiap juri di Amerika. Ada prosesnya. Dan peguam Trump terlibat di dalamnya. Juri mendengar bukti selama lima minggu.

"Selepas berunding dengan teliti, juri mencapai keputusan sebulat suara. Mereka mendapati Trump bersalah atas semua 34 tuduhan jenayah.

"Sekarang dia akan diberi peluang, seperti yang sepatutnya, untuk membuat rayuan ke atas keputusan itu seperti mana setiap orang lain mempunyai peluang untuk melakukannya. Itulah cara sistem keadilan Amerika berfungsi.

"Dan ia merupakan satu pencabulan, berbahaya dan tidak bertanggungjawab untuk sesiapa pun mengatakan ini adalah dirancang, hanya kerana mereka tidak menyukai keputusan itu.

"Sistem keadilan kita telah bertahan hampir 250 tahun, dan ia benar-benar merupakan titik tolak Amerika," katanya.

Hukuman ditetapkan pada 11 Julai, beberapa hari sebelum parti Republikan dijadual mencalonkan Trump secara rasmi dalam pemilihan presiden, 5 November depan.

Trump bagaimanapun menafikan salah laku terbabit dan dijangka membuat rayuan, selain turut meneruskan serangan secara dalam talian selepas keputusan kesnya diumumkan.