PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dan bekas presiden Donald Trump akan berdepan satu lawan satu dalam Debat Presiden di Atlanta, Georgia hari ini (Jumaat).

Ia merupakan acara penting untuk dua calon ini menyampaikan manifesto kempen masing-masing kepada pengundi mengenai isu-isu utama seperti ekonomi dan imigrasi, menjelang lima bulan sebelum pilihan raya presiden AS berlangsung.

Julung kali diadakan, debat ini meletakkan beberapa syarat dalam usaha mengurangkan gangguan.

Antaranya, mikrofon pihak lawan akan dimatikan apabila tiba giliran calon lain untuk berhujah dan tiada penonton dibenarkan berada di studio.

Selain itu, tiada sebarang alat atau nota yang telah ditulis awal dibenarkan, sebaliknya calon hanya akan diberikan pen, pad kertas dan sebotol air.

Sebelum ini telah diputuskan dengan lontaran syiling bahawa Trump akan memberikan kenyataan terakhir dalam debat selama 90 minit itu dan Biden akan berdiri di sebelah kanan.

Ini adalah kali kedua Biden, seorang Demokrat, dan Trump, seorang Republikan, akan mencabar satu sama lain untuk kerusi Presiden selepas Trump kalah pada tahun 2020.

"Biden berpeluang untuk meyakinkan pengundi bahawa pada usia 81 tahun, beliau masih mampu memimpin Amerika Syarikat melalui pelbagai cabaran.

"Sementara Trump, 78 tahun, mungkin menggunakan peluang ini untuk menebus kesalahan jenayahnya di New York dan meyakinkan jutaan penonton bahawa beliau sesuai untuk kembali ke Rumah Putih," menurut CNN.

Ini merupakan negeri medan pertempuran utama dan salah satu negeri yang dimenangi Biden dengan kurang daripada 13,000 undi pada tahun 2020.

Liputan langsung akan bermula jam 9 pagi di semua platform Astro AWANI.