BANGKOK: Kerajaan Thailand mempergiat usaha untuk membantu mangsa banjir di Chiang Mai dan Chiang Rai, wilayah utara negara itu.

Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra memberi jaminan kepada orang ramai bahawa bekalan kini mencukupi, dengan makanan dan air disalurkan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir besar.

Beliau menekankan bahawa keutamaan kerajaan adalah menangani krisis banjir secara menyeluruh, termasuk memindahkan mangsa ke pusat perlindungan kerajaan dan mengagihkan bekalan perubatan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan mereka.

"Orang ramai kini mendapat akses kepada tiga hidangan sehari bersama-sama dengan air, hasil daripada tindak balas pantas pegawai kami," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat krisis banjir pada Khamis.

Perdana Menteri turut menggariskan tanggungjawab khusus untuk pelbagai kementerian bagi memastikan tindak balas yang diselaraskan.

Paetongtarn mengumumkan bahawa beliau dan beberapa ahli Kabinet merancang untuk melawat Chiang Rai esok (Jumaat) bagi menilai situasi secara langsung sambil menasihatkan pihak berkuasa tempatan dan unit tentera supaya memastikan lawatan itu berprofil rendah untuk mengelakkan gangguan terhadap usaha bantuan yang sedang berjalan.

"Lawatan ini sepatutnya memberi fokus kepada sokongan, bukan upacara berskala besar," katanya.

Jabatan Pencegahan dan Tebatan Bencana memaklumkan pada Khamis bahawa banjir di 545 kampung di tujuh wilayah utara, termasuk Chiang Rai, Chiang Mai, Tak, Sukhothai, Phitsanulok, Ang Thong, dan Ayutthaya - menjejaskan lebih 32,000 isi rumah.

Sejak 16 Ogos hingga 12 Sept, banjir kilat dan tanah runtuh di Thailand mengakibatkan 33 kematian dan menjejaskan lebih 106,000 isi rumah di 27 wilayah, menurut jabatan itu.

-- BERNAMA