BANGKOK: Thailand mengesan kes cacar monyet atau mpox melibatkan seorang lelaki Eropah yang tiba dari Afrika minggu lalu dan sedang menunggu keputusan ujian untuk menentukan mutasi.

Pihak berkuasa Thai menganggap kes itu adalah mutasi Clade 1 mpox, kerana individu berkenaan seorang lelaki Eropah berusia 66 tahun yang bermastautin di Thailand.

Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Thailand, Thongchai berkata, dia telah tiba pada 14 Ogos lalu dari sebuah negara Afrika di mana virus itu merebak.

Thongchai menambah, lelaki itu telah menjalani ujian untuk menentukan sama ada kes itu adalah varian Clade 1 dengan keputusan dijangka dikeluarkan pada Jumaat.

Pihak berkuasa juga memantau 43 orang di negara itu yang mungkin bersentuhan dengan pesakit tersebut.

Thongchai bagaimanapun tidak menamakan negara Afrika yang dikunjungi lelaki itu.

Beliau berkata, lelaki itu telah transit di negara Asia Barat sebelum terbang ke Thailand.

Thailand telah mengesan 800 kes mpox Clade 2 sejak 2022 tetapi setakat ini belum mengesan sebarang kes melibatkan varian Clade 1 atau Clade 1b.