TAIPEI: Gempa bumi berukuran 5.5 magnitud melanda kawasan pantai di Daerah Hualien, timur Taiwan pada 4.26 petang Isnin, menurut Pentadbiran Cuaca Pusat (CWA), seperti dilaporkan oleh Agensi Berita Pusat (CNA) .

Pusat gempa terletak di laut, 8.5 kilometer (km) tenggara Dewan Daerah Hualien, pada kedalaman 23.9km, berdasarkan data CWA.

Keamatan gempa bumi, yang mengukur kesan sebenar kejadian seismik, adalah tertinggi di Hualien dan sebahagian Nantou, yang mencatatkan 4 pada skala keamatan 7 peringkat Taiwan.

Gempa itu juga mengukur 3 di bahagian Yilan, Taichung dan Changhua, menurut data CWA.

Tiada laporan segera mengenai kerosakan atau kecederaan berikutan gempa itu, yang menurut CWA merupakan gempa susulan daripada gempa bumi berukuran 7.2 magnitud yang menggegarkan kawasan Hualien pada 3 April lepas.

-- BERNAMA