SINGAPURA: Singapura bimbang dengan situasi di Myanmar termasuk keganasan yang masih berterusan di negara itu, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Dalam ucapannya pada Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat ke-9 pada Selasa, Lee menyatakan kekecewaannya dengan kurangnya kemajuan dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara ASEAN.

"Kami menggesa tentera Myanmar untuk beri kerjasama sepenuhnya dengan Duta Khas ASEAN dan melaksanakan Konsensus Lima Perkara itu.

"Kami juga menyeru supaya semua tahanan politik dibebaskan segera, termasuk Presiden Win Myint, Kaunselor Negara Aung San Suu Kyi, dan rakyat AS Danny Fenster," kata Lee.

Lee turut menekankan bahawa ASEAN telah menyediakan bantuan kemanusiaan melalui Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Mengenai Pengurusan Bencana ASEAN (Pusat AHA).

Perdana Menteri Singapura itu berterima kasih kepada AS kerana mengumumkan bantuan kemanusiaan tambahan bernilai US$180 juta untuk pelarian Rohingya dan mereka yang terjejas di Rakhine.

Beliau mengetuai delegasi Singapura ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang dihoskan Brunei selaku Pengerusi ASEAN, dari 26-28 Okt, yang diadakan menerusi sidang video.

-- BERNAMA