WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menerima kritikan selepas menggunakan petikan yang diubah suai dan dikaitkan dengan maharaja Perancis yang menobatkan dirinya sendiri, Napoleon, seolah-olah memberi gambaran bahawa beliau berada di atas undang-undang, lapor agensi berita Jerman (dpa).

"Seseorang yang menyelamatkan negaranya tidak melanggar undang-undang," kata Trump dalam hantaran di platform X pada Sabtu.

Kenyataan Trump itu mencetuskan reaksi balas daripada Demokrat, dengan Senator Adam Schiff dari California membalas: "Kata-kata seperti seorang diktator sebenar."

Naib Presiden AS JD Vance turut menyuarakan nada yang sama seperti Trump pada awal Februari apabila beliau mendakwa bahawa "hakim tidak boleh mengawal kuasa sah eksekutif."

Trump, yang memegang jawatan sebagai presiden AS bagi penggal kedua sejak lebih tiga minggu lalu, berdepan kritikan berhubung gaya pentadbirannya.

Pengkritik menuduh beliau tidak mematuhi prinsip demokrasi, antaranya apabila mengisytiharkan dirinya sebagai presiden bagi institusi budaya seperti Pusat Kennedy.

Pelantikannya terhadap jutawan teknologi Elon Musk ke jawatan kerajaan turut mencetuskan bantahan, dengan beberapa negeri memfailkan saman atas dakwaan memberi "kuasa undang-undang tanpa kawalan" kepada ketua eksekutif Tesla itu tanpa kelulusan Kongres.

Saman yang difailkan oleh beberapa negeri termasuk New Mexico dan California itu adalah antara banyak tindakan undang-undang yang dihadapi pentadbiran Trump, dengan pelbagai pihak menuduh presiden itu melanggar undang-undang menerusi beberapa dekri yang dikeluarkannya.

Setakat ini, hakim telah menghentikan sementara sekurang-kurangnya 12 keputusan dari Rumah Putih.

Napoleon, yang meninggal dunia dalam buangan pada 1821 di pulau Saint Helena di Lautan Atlantik, masih menjadi tokoh yang membahagikan pendapat rakyat Perancis sehingga kini. Ada yang melihatnya sebagai seorang reformis dan pengasas institusi penting, manakala yang lain menganggapnya sebagai pemerintah autoritarian.

-- BERNAMA