Masyarakat Malaysia di kota raya New York menyambut 1 Syawal pada Isnin dengan berkumpul di Pejabat Perwakilan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menunaikan solat sunat hari raya serta mendengar khutbah yang disampaikan imam.

Selepas solat, majlis rumah terbuka anjuran pejabat itu serta pejabat konsulat Malaysia di New York turut diadakan.

Pelbagai hidangan antaranya ketupat, rendang, satay, nasi minyak, mi rebus, laksa serta kuih tradisional dan kuih-kuih raya yang disediakan secara gotong royong oleh anggota Perwakilan (kumpulan isteri-isteri Kementerian Luar Negara) New York turut dihidangkan pada majlis tahunan itu.

Dewan Utama pejabat berkenaan dihias indah dengan gantungan ketupat-ketupat besar dan kecil yang dibuat dengan reben sama seperti suasana menyambut lebaran seperti di tanah air.

Lebih 300 tetamu hadir dan antara mereka adalah Duta-duta dari negara Asean, rakyat Malaysia yang tinggal serta bekerja di sekitar dan keluarga mereka.



Berhari raya di Times Square, New York. - Source Instagram malikridhwan

Pada majlis itu Wakil Tetap Malaysia ke PBB Datuk Hussein Hanif turut menyampaikan sumbangan duit raya dan bungkusan raya kepada kanak-kanak yang hadir.

Beliau berkata dalam kesibukan berhari raya, ingatan terhadap MH17 dan mereka di Gaza tidak pernah luntur.

"Kita mendoakan anggota keluarga MH17 tabah menghadapi ujian ini dan mereka di Gaza boleh merayakan sambutan Aidilfitri" katanya kepada Bernama selepas majlis rumah terbuka itu.

Beliau dan pasukannya bekerja keras pada Persidangan Majlis Keselamatan PBB berkaitan kedua-dua isu dalam usaha menyuarakan pendirian dan pandangan negara di badan dunia itu.