HAMBURG: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut, manakala dua lagi cedera dalam satu pergaduhan berhampiran pusat penempatan pelarian di bandar pelabuhan utara Jerman, Hamburg, lapor agensi berita dpa.

Siasatan awal mendapati pergaduhan berlaku pada petang Jumaat melibatkan beberapa orang, menurut jurucakap polis kepada dpa.

Seorang remaja ditemukan terbaring tidak sedarkan diri di atas tanah. Walaupun usaha menyelamat dilakukan oleh pegawai dan pasukan paramedik, dia disahkan meninggal dunia di hospital akibat luka tikaman.

Menurut polis, seorang lelaki berusia 19 tahun dengan luka tikaman di bahagian tangan turut dijumpai berhampiran lokasi kejadian.

Luka itu menunjukkan dia kemungkinan cuba membantu remaja berkenaan, kata jurucakap itu.

Tidak lama selepas itu, pasukan kecemasan menjumpai seorang lelaki berusia 34 tahun dengan kecederaan tikaman serius di bahagian atas badan berdekatan lokasi kejadian.

Dia dihantar ke hospital dan menjalani pembedahan kecemasan.

Urutan kejadian sebenar masih belum jelas. "Kami belum dapat mengesahkan siapa yang menikam siapa dan bila," kata jurucakap itu.

Bagaimanapun, terdapat kemungkinan bahawa remaja berusia 17 tahun dan lelaki berusia 34 tahun saling mencederakan antara satu sama lain.

Kedua-dua mangsa yang masih hidup belum dapat disoal siasat buat masa ini, menurut polis.

Bukti telah dikumpulkan di lokasi kejadian, termasuk beberapa bilah pisau. Satu unit pangsapuri di pusat penempatan itu turut digeledah.

-- BERNAMA