MOSCOW: Pembangunan enjin pesawat berkuasa elektrik pertama untuk digunakan dalam pesawat penumpang dan kenderaan udara tanpa pemandu telah bermula di Rusia, kata biro kejuruteraan penerbangan Rusia Ecolibri kepada Sputnik.

"Ecolibri sedang membangunkan enjin elektrik EM-01, prototaip pertama daripada keluarga generasi baharu pertama enjin pesawat untuk pembangunan pesawat penumpang elektrik, termasuk pesawat yang berlepas dan mendarat menegak serta peralatan tanpa pemandu, yang dipercayai akan turut mendapat permintaan dalam industri automotif dan pembinaan kapal," kata pengerusi majlis saintifik dan teknikal Ecolibri Alexey Rogozin.

Menurut pakar Ecolibri, enjin itu akan memenuhi keperluan pensijilan Agensi Pengangkutan Udara Persekutuan Rusia dan peraturan penerbangan antarabangsa.

Ciri utama enjin EM-01 adalah unit pemacu elektrik dengan transmisi tanpa gear, yang akan meningkatkan prestasi, kebolehpercayaan dan jangka hayat enjin.

Ecolibri berkata output enjin akan berada dalam julat 10 hingga 200 kilowatt-jam untuk memastikan pengangkutan yang cekap dan selamat bagi kargo bersaiz besar dan penumpang.

--BERNAMA-SPUTNIK